Warga Nepal yang menjadi mangsa gempa bumi amat memerlukan ubatan-ubatan dan tempat tinggal berbanding dengan makanan dan keperluan lain.

Agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) disaran untuk menyalurkan bantuan dari aspek ini kepada mangsa-mangsa gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda Nepal bulan lalu.

"Sebenarnya makanan bukan masalah utama di sini dan bukan bantuan utama yang mereka perlukan. Bantuan utama yang diperlukan ialah tempat tinggal dan perubatan.

"Tempat tinggal mereka musnah, jadi mereka perlu ke rumah ahli keluarga mereka yang berada di Kathmandu. Bangunan dan infrastruktur seperti telekomunikasi di sini pun semuanya musnah dan runtuh," kata wartawan Astro AWANI Mariah Ahmad yang berada di Nepal bersama Global Expedition Club dalam satu misi bantuan.

FOTO: Malapetaka gempa bumi Nepal


Perkembangan pasca gempa Nepal

BACA: Misi bantuan perubatan Malaysia berlepas ke Nepal

BACA: Misi Bantuan Perubatan GEC selamat, kini ke perkampungan Kartika

Setakat ini, lebih 600 gegaran dicatatkan dengan 128 daripadanya mempunyai kekuatan 4 pada skala Richter sejak gempa bumi kuat pada 25 April lepas yang mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) telah menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyelaraskan usaha bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Valerie Amos, dan Pesuruhjaya EU bagi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Krisis, Christos Stylianides, merayu masyarakat antarabangsa supaya terus memberi bantuan kepada berjuta-juta penduduk negara ini yang amat terjejas akibat gempa bumi bulan lepas.