Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan dua lagi kes jangkitan dari luar novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di republik itu, satu daripadanya melibatkan warganegara Singapura kedua.

Kedua-dua kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 18 kes disahkan positif.

"Kedua-dua kes itu mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan baru-baru ini. Pada masa ini tidak ada bukti penyebaran dalam komuniti di Singapura," menurut kementerian tersebut mengenai perkembangan terkini koronavirus di republik berkenaan.

BACA: Koronavirus: Singapura buat peraturan untuk pelawat dari China

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 250 nyawa

Wanita warga Singapura berusia 47 tahun itu disahkan positif bagi jangkitan koronavirus pada 31 Jan pada kira-kira pukul 11 malam. Dia antara warga Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Januari dan tiba di negara itu pada hari yang sama.

Kes lain melibatkan seorang wanita warga China berumur 31 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan pada 22 Januari dan disahkan positif untuk jangkitan virus itu kira-kira jam 2 petang tadi.

Kedua-dua wanita itu kini diletakkan di bilik pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Setakat 12 tengah hari, sebanyak 231 kes disyaki disahkan negatif bagi koronavirus dan kementerian itu telah mengenal pasti 245 kontak rapat.

-- BERNAMA