PEMBIKIN filem dokumentari dan aktivis Michael Moore jelas sekali sudah bosan dengan retorik anti-Islam yang dibawa oleh pendahulu calon presiden Republikan, Donald Trump.

Dalam surat terbuka kepada Trump yang dikirim di laman Facebook beliau, Moore menyelar Trump habis-habisan sambil meragui karakter samseng Trump dengan mengimbas semula pertemuan mereka hampir dua dekad yang lalu.

Pengarah filem Bowling for Columbine dan Fahrenheit 9/11 itu mendedahkan beliau dan Trump pernah bertemu pada tahun 1998 selepas dijadualkan untuk muncul bersama dalam satu rancangan bual bicara.

Ketika menunggu di bilik tetamu sementara menunggu rakaman bermula, seorang penerbit muncul dan mengasingkan mereka. Penerbit tersebut kemudian memberitahu Moore bahawa Trump tampak gemuruh dan meminta Moore tenang dan melayan Trump dengan baik ketika rakaman kelak.

Moore menyambung kisahnya:


Aku memperkenalkan diri kepada kau. Kemudian aku kata, “Penerbit kata kau risau aku mungkin cakap atau buat sesuatu kepada kau dalam rancangan itu nanti. Jangan terasa, tapi aku tak kenal sangat pun kau sebenarnya. Aku dari Michigan. Jangan risau — kita akan baik-baik saja!

Kau nampak lega, kemudian mendekatiku dan berkata, “Aku cuma tak nak ada masalah nanti dan aku cuma nak pastikan kita berdua, kau tahulah, boleh sefahaman. Supaya kau tak usik aku atas sebab yang mengarut.”

Usik kau? Aku fikir, kita di mana sekarang, darjah tiga? Aku terkejut sebab kau mengaku kononnya lelaki gagah dari Queens tapi nampak macam kucing ketakutan.

Kau dan aku buat rakaman rancangan itu. Tak ada apa-apa yang buruk berlaku kepada kita. Aku tak tarik rambut kau, tak letak gula-gula getah pada kerusi kau.

Apa yang aku fikir waktu pulang dari set penggambaran, pengecutnya kau.


Moore kemudian menyambung kritikan beliau ke atas pendirian Trump terhadap Muslim. Menurut Moore, Trump masih takut dengan momok yang bakal mengapa-apakan beliau. Pada minda Trump, momok itu adalah seluruh umat Islam. Bukan sahaja yang sudah membunuh orang lain, namun semua Muslim.

“Aku dibesarkan untuk percaya kita semua saling bersaudara tanpa mengira bangsa, agama, dan warna,” sambung Moore. “Maknanya kalau kau nak haramkan orang Islam (masuk ke Amerika Syarikat), kau perlu haramkan aku. Dan semua orang lain. Kita semua Muslim.”

Frasa terakhir dalam surat terbuka Moore itu rupa-rupanya disengajakan. Sebaik sahaja surat terbuka itu selesai dikarang, Moore menulis “We are all Muslim” pada sekeping kad yang dipegang ketika berdiri di hadapan Menara Trump.

Beliau kemudiannya diiring oleh polis dan diminta meninggalkan bangunan tersebut.