Perkara tersebut dinyatakan oleh Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Maria Madel sewaktu menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
“Contohnya berkaitan isu kad prabayar telefon kecoh diperkatakan pada hari ini (Rabu) seperti yang kami terima melalui talian pertanyaan ke pejabat kami.
“Harga itu sepatutnya sudahpun termasuk cukai perkhidmatan malah pihak Kastam juga sudah keluarkan surat kepada semua syarikat telekomunikasi supaya tidak menaikkan harga,” ujarnya.
Jelas Maria, jika penilaian dibuat dari segi elemen kos, harga tetap sama kerana kadar 6 peratus cukai perkhidmatan sudah digantikan dengan kadar 6 peratus GST.
Sekiranya kenaikan harga nilai prabayar telefon itu dikesan pengguna di kaunter kedai yang memberi perkhidmatan tersebut, Maria berpendapat bahawa ia terjadi akibat ketidakfahaman pengusaha tersebut.
“Mungkin mereka tidak faham atau tidak dimaklumkan mengenainya. Ini boleh terjadi kerana mereka mempunyai vendor yang terlalu ramai,” kata Maria yang mengesyorkan supaya hak pengguna digunakan sebaik-baiknya dalam hal itu.
Klik di pautan ini untuk mengikuti segala berita mengenai GST
Sementara itu, menurut Maria, pihak Kastam telah membuat simulasi terhadap peniaga-peniaga dengan hasil jualan tahunan yang kurang daripada RM500,000.
Golongan tersebut dikategorikan sebagai kumpulan yang boleh mendaftar GST secara sukarela dan kebanyakan daripada mereka tertarik dengan tuntutan input yang boleh dibuat.
“Kami mendapati bahawa peniaga-peniaga dengan hasil jualan seperti itu tidak begitu ekonomi untuk berdaftar dengan sistem GST kerana mereka tertakluk dengan pematuhan kos termasuk kos perisian dan penggajian pekerja.
“Masalahnya apabila berdaftar dalam sistem GST, mereka tidak boleh keluar selama dua tahun. Kami bimbang mereka tidak sedar kos mereka akan bertambah,” ujar Maria.
Secara rumusannya, Maria menjelaskan, pihak Kastam banyak melakukan aktiviti ‘turun padang’ bukan untuk mencari salah dan terus mendenda tetapi untuk memberi nasihat dan bimbingan.
“Pada hari pertama, masih ada pengguna dan juga peniaga yang keliru dengan pelaksanaan sistem ini. Oleh kerana itulah kami sedia memberi penerangan kepada mereka dalam perkara ini,” ujarnya.
Pihak Kastam Diraja Malaysia telah menambah talian di pejabat di banyak pusat bantuan dan penerangan di seluruh negara serta menambah pegawai untuk mengendalikan pelbagai pertanyaan umum.
Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1300-888-500 atau 03-8882211 untuk mendapatkan sebarang penjelasan berhubung GST selain membaca kandungan buku panduan mengenainya di portal http://gst.customs.gov.my
Maria Madel menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI.