Kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa mulai 1 April depan seperti yang telah diluluskan di Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan Malaysia berkata pelaksanaan GST dilihat sebagai satu langkah konsolidasi fiskal yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara dan sebarang penangguhan pelaksanaan GST akan memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia.

“Kerajaan tidak bercadang untuk menangguhkan tarikh pelaksanaannya kerana sehingga 17 Mac 2015, sebanyak 353,372 syarikat telah berdaftar di bawah GST. Pendaftaran syarikat-syarikat ini menunjukkan peniaga-peniaga pada umumnya menyokong dan bersedia untuk pelaksanaan GST di Malaysia.

“Di samping itu, tahap kesedaran dan kefahaman GST di kalangan rakyat Malaysia telah meningkat berikutan usaha secara intensif melalui kempen dan program kesedaran GST yang melibatkan pelbagai medium komunikasi.

“Pihak kerajaan juga telah mengambil kira semua aspek mengenai pelaksanaan GST termasuk kebajikan rakyat,” tambah kementerian itu.

Tidak menafikan masalah dan isu peralihan memang akan berlaku pada peringkat permulaan pelaksanaan GST seperti yang dihadapi negara-negara lain, kementerian itu berkata ia akan ditangani secara komprehensif dan berterusan.

Kementerian itu juga berkata kerajaan perlu mempelbagaikan sumber hasil kewangan dan tidak hanya bergantung kepada hasil komoditi seperti petroleum dan kelapa sawit.

"Kerajaan akan terus melaksanakan program-program latihan kepada peniaga dan program kesedaran GST kepada pengguna.

"Kerajaan juga bersedia untuk mengadakan dialog dan konsultasi dengan sektor swasta bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan," tambah kementerian itu.