ALLAHYARHAM Abam Bocey sepatutnya mengeluarkan baju keluaran sempena Hari Raya Aidilfitri berkonsepkan plus size.

Menurut pembantu peribadi Nurul Syafinaz Zulkifli, kali terakhir dia bertemu dengan Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan adalah pada Jumaat lalu.

“Kami berjumpa untuk sesi fotografi baju raya keluaran Abam diusahakan dengan kolaborasi bersama Bak Taylor.

“Tiada apa yang berubah, dia macam biasa seperti selalu. Selepas selesai sesi fotografi, dia bersungguh ajak saya pergi makan. Selesai makan kami pun pulang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Fad dan Achey luah kesedihan, seakan tidak percaya pemergian Abam Bocey

BACA: Pelawak Abam Bocey meninggal dunia




Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita menyedihkan pada apabila pelawak popular Abam daripada kumpulan Bocey meninggal dunia.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak awal pagi Isnin.

Dalam pada itu, menurut Syafinaz, dia dimaklumkan isteri Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali tentang keadaan pelawak itu yang demam.

“Semalam (Ahad), saya minta isterinya bawa Abam ke hospital, tapi Abam enggan. Katanya, hari ini (Isnin) baru nak pergi (hospital).

“Saya pun tak pasti sama ada Abam sempat ke hospital atau tidak sebelum saya menerima panggilan daripada isterinya mengatakan Abam sudah tiada,” jelasnya yang mula berkhidmat dengan Abam sejak Jun tahun lalu.