Menurut Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai, filem pendek berdurasi 10 minit itu bakal dilancarkan pada 25 Jun ini di laman YouTube.
"Filem pendek tersebut dibuat khas untuk produk Pantene. Saya menceritakan sedikit pengalaman peribadi saya, sebagai contoh kisah saya ketika di waktu persekolahan dan waktu mula mahu menceburkan diri dalam bidang hiburan.
"Saya ceritakan kisah ketika di zaman persekolahan sewaktu saya gemar menulis lirik dan suka berangan dalam kelas, ada juga kisah ada pihak yang menyuruh saya menanggalkan tudung jika saya mahu berjaya dalam bidang hiburan.
"Saya kumpulkan kisah tersebut dan ia diceritakan dalam Wanita Besi dan saya harap ia dapat menjadi inspirasi untuk wanita di luar sana," kata Yuna yang dilantik menjadi duta Pantene.
Dalam perkembangan terbaru, wanita berusia 32 tahun ini teruja menyambut Syawal bersama keluarga barunya.
"Tahun ini menjadi pengalaman pertama saya menyambut Lebaran dengan gelaran isteri. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
"Cuma kami berdua tidak menyambut hari pertama Raya kerana ketika itu, kami berada di lapangan terbang untuk menanti penerbangan transit pulang ke Malaysia.
"Saya menyambut raya di Lembah Klang sahaja kerana rumah keluarga suami dan rumah keluarga saya sangat dekat. Seterusnya, kami sempat pulang ke kampung di Perak untuk bertemu dengan keluarga lain di sana," katanya mengakhiri perbualan.