Pelakon Aliff Aziz sekali lagi menjadi tumpuan dalam radar industri hiburan tanah air.

Episod rumah tangganya dengan pelakon Bella Astillah berantakan akibat kecurangannya sebelum ini kembali berulang.

Jika dalam kontroversi pada Julai 2017, Aliff didakwa mengecewakan hati isterinya kerana dilaporkan menjalin hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir.

Namun, Bella memaafkan kesilapan suaminya itu dan kembali menjalani kehidupan baharu dengan Aliff.

Kini sekali lagi Aliff didakwa mengulangi kesilapan lalu, kali ini wanita yang dikaitkan sebagai skandalnya ialah pelakon baharu Oktovia Manrose.

Dalam pendedahan yang dibuat di laman Instagram peribadinya pada Rabu, Bella mendakwa, dia mempunyai bukti sikap curang suaminya.

Kata Bella, kecurangan suaminya dihidu apabila Aliff seakan-akan menyembunyikan sesuatu selepas menjalani penggambaran sebuah telefilem bersama Oktovia.

“Selepas Aliff habis menjalani penggambaran telefilem baru-baru ini, dia buat hal lagi dengan heroin yang bekerja dengan dia dalam telefilem itu.

“Saya bila solat, minta Allah beri petunjuk mengenai rumah tangga. Tak sangka doa saya dijawab dengan begitu cepat. Sangat cepat.

“Terima kasih kepada insan yang menghantar mesej kepada saya. Kalau tak, saya takkan tahu apa-apa. Hanya saya dengan Ayden berada di rumah,” katanya dalam hantaran Instagramnya.

ENTRI yang dimuat naik oleh Bella Astilah di Instagramnya mengenai kecurangan suaminya, Aliff Aziz.


Dalam reaksi spontannya kepada portal Berita Harian, Bella menegeaskan, dia sudah tawar hati dengan sikap suaminya yang enggan berubah.

Menegaskan kesedihan dan kekesalannya itu, Bella, 25, berkata, dia juga bersedia sekiranya perpisahan menjadi jalan terakhir untuk perkahwinannya.

“Saya tak sangka dia akan buat hal lagi. Ingatkan, dia sudah berubah. Kali ini, dengan pelakon juga.

“Saya sudah tidak mampu untuk berselindung. Sebab itu juga saya memilih untuk berkongsi cerita ini di Instagram. Sebelum ini, saya maafkan dirinya dan memberikannya peluang. Namun, nampaknya dia tidak menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Selepas ini, saya perlu berbincang dengan keluarga kerana apa sahaja keputusan mengenai rumah tangga kami, ia tetap membabitkan banyak hati,” ujar Bella seperti dilapokan portal itu.

Aliff didakwa oleh isterinya menjalin hubungan dengan Oktovia Manrose, termasuk mengunjungi kelab malam bersama-sama.

Pasangan Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Adrean yang lahir pada 8 Julai 2017.

BACA: 'Ya, saya salah...' - Aliff Aziz