Anak perempuan Whitney Houston pengsan dalam tab mandi di rumahnya pada Sabtu, mengimbas kematian tragis ibunya tiga tahun lalu.

Jurucakap Polis Bahagian Roswell, Lisa Hollan, melaporkan Bobbi Kristina Brown, 21, ditemui suami dan rakannya dalam rumah di Roswell, kira-kira 35 kilometer di utara Atlanta.

“Beliau masih hidup dan bernafas buat masa ini, seperti yang dimaklumkan kepada saya,” kata Lisa dalam satu sidang media.

Beliau berkata pasukan penyiasat masih di lokasi kejadian dan juga di hospital.

Portal hiburan TMZ.com melaporkan suami Bobbi, Nick Gordon dan kawannya telah melakukan CPR ketika kejadian berlaku.

Bantuan kecemasan juga telah dihubungi sebelum Bobbi dikejarkan ke Hospital North Fulton untuk rawatan.

TMZ juga melaporkan sumber terdekat dengan keluarga berkata, Bobbi berada dalam keadaan koma berikutan bengkak pada otak.

Diva muzik soul Whitney Houston meninggal pada Februari 2012 apabila dia ditemui mati di tab mandinya di Hotel Bervely Hilton, Los Angeles pada malam tahunan acara gemilang Anugerah Grammy.

Koroner menyimpulkan kes kematian itu sebagai lemas dengan penggunaan kokain dan serangan jantung turut menjadi penyumbang kepada kes itu.

Pelbagai jenis minuman keras turut ditemui di bilik hotel penyanyi itu dan 12 jenis ubat yang diberikan doktor, termasuklah ubat penenang Xanax.

Penyanyi lagu I Will Always Love You telah menjual lebih 170 juta album dalam tempoh 30 tahun kerjayanya sebagai penyanyi dalam masa yang sama berjuang melawan penyalahgunaan dadah.