ANGGOTA kumpulan Super Junior, Choi Siwon memohon maaf secara terbuka apabila anjing peliharaan keluarganya mengakibatkan kematian seorang jiran.

Difahamkan anjing yang diberi nama Bugsy itu tidak diikat dan tiba-tiba bertindak agresif dengan menggigit kaki jirannya ketika keluar daripada lif kediaman mereka.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang wanita lingkungan usia 50 tahun itu terus dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada luka tersebut.

Siwon memuat naik permohonan maaf secara terbuka mengenai insiden berkenaan menerusi laman sosial Instagram (IG) dan juga Twitternya baru-baru ini.

“Ini adalah Choi Siwon, saya ingin memohon maaf kepada keluarga yang berduka dan masih terkejut dengan perkara yang berlaku.

“Saya rasa sangat bersalah sebaik sahaja mendapat tahu mengenai insiden yang berlaku melibatkan anjing keluarga kami sehingga menyebabkan kematian.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan sebagai salah seorang seorang pemilik anjing itu, saya rasa sangat bertanggungjawab.

“Saya tahu sepatutnya harus menjaga anjing berkenaan dengan baik, ini adalah kecuaian.

“Saya benar-benar mohon maaf dan saya akan pastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi,”
tulisnya.

Sumber: Koreaboo