Kerinduan peminatnya terubat apabila salah satu skrip terakhir yang dikarang oleh Allahyarham Yasmin Ahmad telah dihasilkan dalam bentuk sebuah iklan.
Iklan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Maybank bagi memberi tumpuan berterusan kepada pengguna.
Berjudul ' Close To You ', iklan sepanjang dua minit setengah itu menggambarkan bagaimanakah perkembangan perbankan dengan Maybank dilihat menerusi mata anak seorang penternak ayam.
Ia dimuat naik ke laman YouTube pada 29 April lalu. Inisiatif iklan itu dimulakan oleh ibu Yasmin sendiri iaitu Mak Inom.
Bagi menghasilkannya, kumpulan yang pernah bekerja rapat dengan Yasmin Ahmad dipimpin oleh pengarah filem veteran, Kamal Mustapha.
‘Close To You' mencerminkan penelitian seorang kanak-kanak yang memerhatikan bapanya sabar menunggu bas perbankan Maybank agar boleh melakukan transaksi kewangan. Perbankan mudah alih kemudiannya berubah dari masa ke masa dengan kemajuan teknologi.
Kisah pertumbuhan perniagaan keluarga turut menjadi latar cerita selain hala tuju kejayaan kanak-kanak itu yang akhirnya berpeluang belajar ke luar negara.
Ternyata ia merupakan satu pengalaman yang beremosi bagi kumpulan krew itu kerana dapat berkumpul dan bersama-sama berganding bahu sekali lagi menjayakan idea terakhir arwah Yasmin.
“Kami amat bangga dan gembira untuk melihat legasi Yasmin diteruskan melalui penghasilan video ini. Telah menjadi hasrat beliau supaya dia diingati menerusi karya berbanding dirinya,” ujar adik Yasmin, Datin Orked Ahmed
"Maybank sentiasa berusaha untuk berada di barisan hadapan dalam perbankan di Malaysia. Kami cuba melakukannya dengan menjadi dekat dengan hati pengguna kami," kata Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Maybank, Mohamed Adam Wee Abdullah.
"Terutamanya usaha kami untuk mendekati dan membantu membina masyarakat. Allahyarham Yasmin Ahmad mampu merasai dan melihat ciri-ciri itu lantas digarapnya secara tulus dalam skrip ‘Close To You’,” tambahnya lagi.
Adakah anda menyukainya? Kongsi pendapat anda.