Susulan dakwaan iklan Tahun Baru Cina ‘Rubber Boy’ diciplak oleh pembikin filem Tan Chui Mui, kini Pengarah Kreatif Leo Burnett Malaysia James Yap bersuara dan berkata iklan itu diinspirasikan oleh kisah datuk dan bapanya sendiri.

Katanya, kisah ‘Rubber Boy’ merupakan kisah peribadi yang tidak diketahui oleh pasukan kreatif Petronas, dan juga pengarah ‘Rubber Boy’.

“Rubber Boy bermula pada era 1930-an di Malaya ketika datuk saya berkhidmat dengan Tentera Udara Britain. Ketika penjajahan Jepun, beliau sembunyikan apa-apa yang menunjukkan hubungannya dengan pihak Britian.

BACA: Pembikin filem dakwa iklan Petronas 'Rubber Boy' ciplak ideanya

“Selepas perang, beliau kemudian bekerja di estet kelapa sawit di Layang Layang di mana ibu dilahirkan pada 1949. Saya tidak pernah tinggal di estet tetapi saya tahu kisah-kisah kehidupan di situ,” kata James Yap di Facebook.




James turut berkongsi beberapa kisah yang menjadi inspirasi untuk iklan ‘Rubber Boy’.

Antaranya adalah babak menaiki motosikal ke sekolah.

“Bapa saya selalu mengingatkan saya yang saya sering minta diturunkan jauh dari pintu pagar sekolah agar murid lain tidak nampak saya menaiki motosikal. Ini kerana yang lain menaiki kereta,” jelas Yap.

Antara babak lain yang diinspirasikan oleh kehidupan James adalah apabila watak Ah Hock memarahi ibunya kerana miskin dan mahu ibunya kerja lebih keras.

“Apabila Chui Mui membuat tuduhan kisahnya diciplak, saya terpaksa bertanyakan siapa yang tiru siapa,” tanya James.

Beliau turut berkata akan memuat naik skrip beliau dan skrip milik Chui Mui untuk dibandingkan.

“Skrip itu tidak sama,” katanya.

Pada Sabtu, Chui Mui memuat naik beberapa kenyataan di Facebook mendakwa idea asal itu milik beliau, berdasarkan kisah peribadi kawannya ketika zaman kecil.

“Pasukan saya telah memberikan kertas cadangan termasuk senarai pelakon, lokasi, filem rujukan, dan skrip penuh kepada pihak agensi (Leo Burnett). Cadangan itu untuk iklan Tahun Baru Cina Petronas tahun 2015.

“Tahun itu cerita kami tidak dipilih dan tiada iklan Tahun Baru Cina Petronas pada tahun itu.

“Namun, Leo Burnett menggunakan cerita kami untuk iklan Tahun Baru Cina Petronas 2016. Kami sangat terkejut. Ini lebih daripada mencuri jalan cerita kami,” katanya ketika dihubungi pihak Astro AWANI pada Sabtu.