DIFITNAH!

Siapa yang sanggup diri dipalit kontroversi apatah lagi fitnah yang mampu merosakkan karier atau periuk nasi seseorang.

Kejayaannya merangkul piala 'Vokal Terbaik' dalam satu pertandingan berprestij pada awal bulan lalu telah membuktikan bahawa dia masih lagi mampu menyampaikan persembahan yang bertenaga.

Namun, bagaikan mimpi ngeri, namanya terpalit dengan satu fitnah apabila dituduh menggunakan bomoh untuk memenangi pertandingan berkenaan.

Misha Omar atau nama sebenarnya Samiha @ Aisah binti Omar nyata terkejut dengan penyebaran berita apabila menyedari ada pihak yang cuba memfitnahnya.


BACA: Haram nafikan kemaraan Misha Omar di AJL 33

BACA: Menyanyi sambil duduk, Misha Omar dapat pujian

Misha telah membuat laporan polis dan mendapatkan nasihat guaman bagi menuntut keadilan bagi pihaknya.

"Selama 17 tahun penglibatan saya dalam bidang ini, karier yang saya bina, saya rasa bertanggungjawab untuk diri sendiri dan demi menjaga reputasi saya dari kata-kata yang tidak benar, semalam ( Khamis ) saya telah memberikan keterangan kepada pihak polis dan mereka akan menjalankan siasatan lanjut untuk kes ini," katanya ketika sidang media yang diadakan di ibu negara, di sini pada Jumaat.

Abi Mursyidin, peguam yang mewakili Misha berkata kes ini sudah dilaporkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan lanjut dan pelaku diminta untuk hadir meminta maaf kepada Misha dalam masa tujuh hari.


Sekiranya ingkar, anak guam berkemungkinan akan mengambil tindakan selanjutnya buat semua pesalah.

Beliau juga sempat menasihati pengguna media sosial untuk berhati-hati dalam menyebarkan sebarang beritadan bertanggungjawab dengan berita yang diviralkan.
Misha, ibu kepada seorang anak lelaki itu memenangi trofi 'Vokal Terbaik' selepas memberi persembahan yang mengetengahkan vokal mantap beliau melalui lagu balada, 'Sampai Bila'.