Jika dibandingkan dengan enam filem sebelum ini, Fast & Furious 7 ataupun Furious 7 kali ini membawakan lebih banyak lagi aksi-aksi di luar batasan pemikiran seseorang.
Pengarah berketurunan Cina Malaysia, James Wan yang juga pengarah filem Saw dan Insidious, bersama-sama krew filem mendedikasikan Furious 7 ini kepada ‘bintang’ filem ini, Paul Walker yang terkorban dalam kemalangan pada tahun 2013 dengan menghasilkan 'pakej rollercoaster' gabungan aksi lumba, lasak dan emosi.
Furious 7, dari Amerika, menjelajah ke negara-negara seperti Jepun, Arab, UK juga Azerbaijan bagi menjayakan misi kali ini. Dan seperti biasa, penonton akan dihiburkan dengan paparan-paparan budaya stereotaip yang terdapat di setiap ‘pit-stop’ francais filem ini.
Dan antaranya, kali ini, ialah kehidupan mewah kerabat Arab di Abu Dhabi yang memiliki kereta termahal di dalam dunia-- Lykan HyperSport yang menjadi idaman setiap pencinta automobil berkelajuan tinggi.
Brian O'Conner (Paul Walker) dan Dom Toretto (vin Diesel) menggagumi kerete termahal dunia Lykan HyperSport (Gambar: UIP)
Di Abu Dhabi juga aksi-aksi 'hilang akal' seperti kereta terbang menembusi blok-blok bangunan dan aksi lasak pertahanan diri antara dua gadis berotot memakai gaun panjang, dirakamkan.
Barisan pelakon utama selain Paul Walker sebagai Brian O’Conner, Vin Diesel sebagai Dom Toretto dan Dwayne Johnson sebagai Agent Hobbs, ialah krew Furious 7 yang lain seperti Michelle Rodroguez sebagi Letty Ortiz, Tyrese Gibson sebagai Roman, Chris Bridges ‘Ludacris’ sebagai Tej juga Jordana Brewster sebagai Mia.
Wajah dan watak baru diperkenalkan seperti Kurt Russell sebagai penyelamat keadaan yang bernama Mr. Nobody; pelakon Ong-Bak, Tony Jaa berlakon sebagai penjahat licik, Kiey juga Jason Statham yang memegang watak penjahat utama, Deckard Shaw juga Djimon Houson, pengganas cekal bernama Jandake.
Dom Toretto (Vin Diesel) dan Deckard Shaw (Jason Statham) tenang sebelum ribut setelah terlibat dalam kemalangan yang disengajakan (Gambar: UIP)
Plot filem ini agak mengarut, skripnya terlalu klise, sepertimana barisan filem-filem yang sebelumnya.
Namun, saya pasti, penonton dan peminat setia Fast & Furious bukan datang untuk meneliti plot atau jalan ceritanya, tetapi kualiti hiburan yang disajikan oleh francais filem ini.
Dari bermulanya filem, dengan pengenalan kepada penjahat baru, Deckard Shaw yang dilakonkan oleh Jason Statham, yang ingin menebus dendam adiknya terhadap Furious 7 sehingga 140 minit kemudian, filem ini berputar dengan aksi-aksi kejar mengejar diantara berbagai jenis kenderaan – bas, kereta, helicopter dan jentera lain; disulami oleh adegan-adegan mencuit hati serta emosi.
Pada masa yang sama, dalam misi untuk menjatuhkan Shaw, Furious 7 perlu menyelamatkan seorang penggodam seksi yang mempunyai kunci bagi sistem pengawasan digital berteknologi tinggi yang boleh mengancam keaman dunia sekiranya jatuh ke pihak tidak bertanggungjawab dan sudah tentunya menjadi rebutan pengganas cekal, Jandake, lakonan Djimon Houson.
Sepanjang filem, penonton juga tidak dapat lari daripada perasaan sayu, mengenangkan kehilangan Paul Walker. Terutama sekali apabila Dom Toretto (Vin Diesel) sering mengucapkan "one last ride" yang bermaksud "perjalanan terakhir' menandakan berakhirnya perjalanan Brian O'Conner.
Nostalgia 2001 sehingga 2015 dihidupkan semula sebagai penutup tirai Furious 7 yang menjadi simbolik kepada keakraban dan setiakawan yang amat utuh bagaikan telah menjadi darah daging. Inilah semangat kekeluargaan yang sentiasa diterapkan dalam setiap filem francais Fast & Furious ini.
Watak O’Conner yang dimainkan Paul Walker (dan disambung oleh adiknya) dalam filem ini mendapat penghormatan terakhir dengan ucapan selamat tinggal yang begitu bermakna dan menyentuh perasaan, ala Fast& Furious, bagi bukan sahaja krew filem dan peminat filem ini tetapi juga kepada industri perfileman dunia.
Jika anda mengharapkan keseronokkan berpanjangan dengan ledakan adrenalin tanpa henti, Furious 7 menjanjikan semua ini dan lebih lagi.
Barisan pelakon: Vin Diesel, Paul Walker, Jordana Brewster, Dwayne Johnson, Michelle Rodriquez, Kurt Russel, Tony Jaa, Jason Statham
Tayangan : 2 April 2015
Tonton trailer Fast & Furious 7 di sini: