Fatimah Az-Zahra ... nama yang cukup cantik dan indah bagi maksudnya.

Itulah nama timangan sementara yang diberikan kepada cahaya mata sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 39 tahun dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59 tahun.

Perkara itu disahkan oleh anak Datuk Seri Khalid sendiri, Asyraf Khalid ketika ditemui oleh Astro AWANI di sini sebentar tadi.

"Nama Fatimah Az-Zahra akan digunakan untuk minggu pertama ini sahaja," jawabnya ringkas.


Asyraf turut mengesahkan nama tersebut akan digunakan sementara nama rasminya diumumkan kelak.

Siti Nurhaliza selamat melahirkan puteri sulungnya di sebuah hospital swasta di ibu negara sekitar 8.17 pagi tadi.