Filem epik penuh aksi "Bukit Kepong" bakal ditayangkan semula pada Hari Kemerdekaan tahun ini di pawagam dalam bentuk HD (definisi tinggi).

Usaha membaik pulih filem berkenaan telah dilakukan oleh Prodigital Lab Sdn Bhd dan akan diedarkan oleh United Studios Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat KRU International Sdn Bhd dengan kerjasama Jins Shamsudin Productions.

Kata Norman Abdul Halim selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, projek pertama seumpamanya ini adalah bertujuan menggamit generasi baru untuk menghargai filem lama dengan visual berteknologi tinggi.

Tambah Norman, pemilihan filem berusia 34 tahun ini sebagai projek pertama mereka adalah kerana filem itu kaya dengan nilai estetikanya yang tersendiri.

Temu bual bersama Norman dan Jebat

“Mengapa kita pilih Bukit Kepong sebagai projek pertama kerana filem ini penuh dengan nilai-nilai sejarah yang akan dapat dihidangkan kepada generasi muda dalam bentuk visual dan audionya selari dengan zaman sekarang. Jika tidak diselamatkan, ia akan rosak begitu sahaja.

“Cabaran membaik pulih filem ini adalah keadaan negatif filem itu sendiri yang sudah uzur, tambahan ia merupakan satu-satunya salinan yang masih berkeadaan baik yang ada dalam simpanan keluarga Jins Shamsudin,” jelas Norman.

Bukit Kepong, Jins Shamsudin
Norman Abd Halim (kiri) membantu Tan Sri Jins Shamsudin melancarkan trailer filem Bukit Kepong HD sambil diperhatikan Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman -Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

Norman berkata demikian di majlis pelancaran trailer Bukit Kepong versi HD di Pitching Centre Content Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.

Norman turut berkata bahawa kerja-kerja ‘menyelamatkan’ kandungan filem berusia 34 tahun ini telah dijalankan dengan penuh teliti selama lebih sembilan bulan dengan proses pemulihan filem yang menelan kos sekitar RM100,000.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Jins Shamsudin sendiri bersama anaknya Putera Hang Jebat, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Prodigital Lab Sdn Bhd.


Pembikinan dan trailer filem Bukit Kepong HD

Jebat mewakili bapanya mengakui berpuas hati dengan hasil pembaikpulihan filem berkenaan ke versi HD.

“Kualiti bagus, macam baru semalam shoot,” jawabnya ringkas.

Selain "Bukit Kepong", United Studios dan Jins Shamsudin Productions turut menandatangani perjanjian untuk membaik pulih tiga lagi filem klasik iaitu “Menanti Hari Esok”, “Esok Masih Ada” dan “Tiada Esok Bagimu.”