Sutradara Tunku Mona Riza juga memilih untuk mengambil istilah itu sebagai fokus karyanya yang terkini, sebuah filem mengisahkan hubungan seorang bapa dengan anak lelakinya yang menghidap autisme.
Bila memikirkan sesuatu topik yang begitu menyayat hati seperti autisme, suatu lumrah yang perit dilihat pada kanak-kanak terutamanya, ia semestinya membunuh segala kesedaran ego, id dan penyakit lain sewaktu dengannya.
Niat sang pengkarya yang berani menjadi yang pertama menerokai subjek itu pasti tidak dipertikaikan.
Namun, di sebalik segala kemesraan dan perayaan awal filem ini, adakah mesej yang benar-benar padu dan kekal lama bakal dituras dan diserap dari filem ini, masuk menembus kulit penerima umum (jika menerima)?
Kita hanya mampu menantikan keluarannya pada awal tahun 2016 nanti.
Buat masa ini, dengan hanya berbekalkan penyaksian majlis pelancaran awam di khalayak, dan juga teaser ataupun video pengejek yang dipertontonkan di majlis pelancaran tersebut, serta khabar angin, masih tak cukup untuk kita yang cuba kekal prihatin melepaskan segala objektiviti dengan keseluruhan filem ini.
Antara barisan pelakon yang menjayakan filem Redha ketika ditemui di majlis pelancaran filem tersebut, baru-baru ini. - Gambar Daily Seni
Redha – The Beautiful Pain yang dilancarkan di Plaza Alam Sentral di penghujung bulan Ogos tempoh hari (tanggal Hari Merdeka!), dimeriahkan sendiri oleh Nam Ron, disertai kesemua barisan pelakon filem itu termasuklah Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Susan Lankester, Ruminah Sidek, June Lojong, Izzy Reef dan adik Haziq Harith.Kelihatan pameran-pameran menyampaikan risalah-risalah kesedaran autisme didirikan di sekitar pentas pelancaran, seolah-olah bersaing dengan keramaian umat peminat yang nampak hanya mahu rapat dengan artis yang diundang; kemudian undangan istimewa bintang muda autisme ke pentas yang membuatkan hadirin dan penyanyi autistik itu sendiri terbelah bagi, mungkin kerana ketidakselesaan remaja itu dengan harapan tahap selebriti yang boleh dikira tiba-tiba juga diletakkan ke atas bahunya.
Namun, ada pula yang tak relevan. Mungkin tersilap pengacara pelancaran mengundang karaoke lagu-lagu dewasa daripada penyanyi dangdut veteran yang hadir – kejadian ini betul-betul memukau kerana ketidaksinambungannya dengan cerita autisme yang diraikan dan sepatutnya menjadi tumpuan.
Bagaimana hendak menyatukan dengan serius perjuangan autisme dengan nyanyian-nyanyian lagu lama tentang lelaki beristeri dua, serta percakapan pentas mengenai “janda” dan sebagainya?
Belum lagi disiarkan, penyakit sebenar pula mengancam kemurnian mesej autisme filem Redha.
Di mana ada pentas awam, di mana ada mikrofon, barangkali di situkah sesetengah mahupun kebanyakan orang kita tanpa segan silu memacakkan diri demi perhatian semata-mata?
Walaupun dengan modal ‘persembahan’ yang tiada kena-mengena dengan autisme.
Dalam pada itu, tiada pula seorang pun dari kalangan pengusaha pameran autisme sanggup tampil untuk bersuara akan hal ini, tidak kiralah betapa kontrari kelakuan di pentas itu dengan misi mereka menyebarkan kesedaran autisme pada hari itu.
Kesongsangan ini tetap ditoleransi dalam pada meraikan filem yang bertajuk Redha – Kesengsaraan Yang Indah pada Hari Terbuka Kesedaran Autisme anjuran Plaza Alam Sentral dengan sokongan Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia.
Sampai bila masyarakat kita mahu silau dan tidak pasti akan pendirian masing-masing begini? Adakah selama-lamanya lebih senang hanya bertungkus-lumus memburu gambar dengan artis kegemaran, hanya mendendangkan lagu-lagu yang tak kena tempat, daripada memikirkan sesuatu keadaan diri yang sebenarnya merendahkan kita selama ini?
Harapan ikhlasnya adalah filem Redha, dan mesej murninya mengenai autisme dan nilai perhubungan keluarga, sebagai contoh yang paling relevan, tidak turut menjadi mangsa sebuah budaya moden yang rakus, berpusu-pusu dan tidak henti-henti mahu perhatian diri dalam apa sahaja konteks, di mana-mana sahaja.
Doanya buat orang kita adalah supaya karya Redha dan filem-filem sepertinya di masa akan datang akan dapat sedikit sebanyak menyuntik perasaan tawaddu’ dikalangan sesiapa yang sudi menghayatinya, dan semoga filem itu sendiri juga sampai akan mesej asalnya.
Ini boleh jadi hanya jika karya tersebut beserta mesejnya yang unik itu diberikan ruang yang adil dan tidak dipaksa berhimpit sama dengan mesej-mesej yang bertentangan, mahupun penyakit-penyakit yang tidak lagi sepatutnya relevan bagi masyarakat yang mahu pulih dan ingin ke hadapan.