PELAKON Fiza Abdul Halim mengakui telah berkahwin kali ketiga dengan seorang juruterbang berstatus duda anak dua.
Fiza, 36, berkata, dia telah bernikah Aizat Al Jefri Abdul Kudus dalam sebuah majlis tertutup di kediaman adiknya di Cyberjaya, pada Disember 2016.
"Alhamdulillah, ya memang saya sudah berkahwin dengan seorang lelaki berstatus duda anak dua pada akhir tahun lalu.
"Dia bertugas sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan swasta sejak sembilan tahun lalu," ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon Nana Tanjung ini berkata, dia tidak berniat untuk untuk merahsiakan perkahwinan tersebut, sebaliknya memilih untuk mendahului kehendak keluarga.
"Saya bersyukur dan bahagia sungguh pun pelbagai gosip, cacian dan tomahan yang dilemparkan sebelum ini. Saya tidak berniat untuk merahsiakan daripada semua orang, tapi saya mahu mendahulukan keluarga.
"Biar Allah sahaja yang tahu hubungan kami halal, buat apa nak cerita sana sini? Bukan semua orang nak mendoakan kita yang baik-baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Fiza berharap dengan penjelasan ini, dapat memberi jawapan kepada soalan kepada orang ramai.
"Buat semua peminat mohon doakan kebahagian kami kekal dan harap ini kali perkahwinan terakhir sebelum kami tutup mata.
"Kami berdua akan cuba yang terbaik untuk perkahwinan kali ni dan akan saling memahami, bertolak ansur dan yang paling penting bersabar dalam apa jua keadaan," katanya.
Fiza pernah berkahwin dengan peserta Akademi Fantasia, Adam pada September 2013 dan ia merupakan perkahwinan keduanya, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.
Adam dan Fiza bercerai pada 28 April 2014 tetapi rujuk semula pada tahun sama.
Namun, tahun lalu, Fiza sekali lagi nekad menuntut cerai kerana melihat hubungan mereka tidak boleh dipertahankan lagi.
Sebelum berkahwin dengan Adam, Fiza pernah bernikah dengan Ahmed Farriq dan dikurniakan dua anak iaitu Ferra Aryanna, 9, dan Feeya Adyrra berusia lapan tahun.
Sumber: mStar Online