RUMAH tangga pelakon Fizo Omar dan isterinya, Mawar Abdul Karim berakhir dengan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor pada Rabu.

Pasangan berkenaan sah bercerai dengan talak satu selepas spekulasi mengenai rumah tangga mereka berantakan diperkatakan sejak beberapa minggu lalu.



Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan lafaz perceraian selepas Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan membenarkan permohonan cerai yang difailkan oleh Mawar, 30.



Che Abdullah mensabitkan penceraian kali pertama dengan talak satu dan memerintah Mawar menjalani tempoh idah selama tiga bulan.


Kemelut rumah tangga Fizo dan Mawar menjadi perbualan netizen dan media selepas pasangan berkenaan didapati meraikan sambutan Syawal di kampung halaman masing-masing.

Berkahwin pada November 2013, Fizo dan Mawar dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.