BERPUAS hati dengan prestasi tanpa pengendalian hos, Anugerah Akademi 2020 anjuran Academy of Motion Pictures Arts and Sciences akan sekali lagi mengulangi sejarah itu.

Jurucakap anugerah tersebut, Karey Burke mengesahkan anugerah tersebut tidak akan dikendalikan oleh hos seperti anugerah yang lain.

Malah, jelasnya pihak syarikat penyiaran ABC gembira dengan prestasi anugerah tersebut tahun lalu yang berlangsung pada 24 Februari.

“Kami akan mengulangi formula yang dilihat berjaya untuk penganjuran anugerah tahun ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Pasadena, California.

Malah, menerusi perkongsian di Twitter, akaun rasmi The Academy turut mengesahkan anugerah tahun ini akan dihadiri pelakon ternama dan dimeriahkan dengan persembahan menarik.



Umum sedia maklum, majlis gilang-gemilang yang mengiktiraf karyawan filem Hollywood itu tahun lalu berlangsung tanpa kendalian hos selepas 30 tahun tidak mengulangi sejarah itu.

BACA: Anugerah Oscar 2019 tanpa kehadiran pengacara

Ia selepas pelakon komedi, Kevin Hart membuat keputusan menarik diri daripada bersetuju mengendalikan acara itu.

Penarikan diri Hart beberapa jam selepas namanya diumumkan sebagai pengendali acara berprestij itu dibuat selepas dia menerima kecaman kerana memuat naik kenyataan berbaur homofobia di laman Twitter.



Kali terakhir Oscar diadakan tanpa kehadiran pengacara ialah pada 1989.

Anugerah tahun ini akan berlangsung pada 9 Februari di Los Angeles.