APABILA bercakap tentang filem komedi, penulis berpendapat elemen ‘jenaka yang sampai’ adalah paling penting untuk mengklasifikasikannya sebagai berjaya.

Justeru, penulis sangat bersetuju apabila pengarah filem Hantu Kak Limah, Mamat Khalid, tanpa berselindung memberitahu filem berkenaan tidak dihasilkan di atas kapasiti memenuhi kehendak intelektual.

Di Hollywood, banyak filem komedi yang dihasilkan atas prinsip yang sama namun tetap berjaya di box office dan diberi rating yang baik oleh pengkritik.

Berbeza dengan francais Kampung Pisang sebelum ini, kali ini Mamat memfokuskan satira yang lebih dekat dengan masyarakat sebagai resipi untuk menggeletek hati penonton.

Kekuatan Hantu Kak Limah terletak pada pelakon-pelakonnya.FOTO/Astro Shaw
Berbekalkan plot yang ringkas, kekuatan Hantu Kak Limah sebenarnya terletak pada para pelakonnya.

Tidak perlu terlalu mencuba, kesemua pelakon berjaya menterjemah watak masing-masing dengan begitu baik.

Satu kejutan juga apabila melihat kemampuan Zul Ariffin, yang sebelum ini sinonim dengan watak macho dan romantik, tidak kekok membawakan watak Solihin, bomoh merangkap guru silat yang cakapnya besar tetapi hujungnya ‘hampeh’.

Hantu Kak Limah mengisahkan misteri kematian Kak Limah selepas mengahwini seorang lelaki muda bernama Khuda.

Pelbagai insiden menyeramkan dan melucukan berlaku selepas itu, dan Kampung Pisang kembali kecoh dengan kemunculan hantu Kak Limah.

Tidak lengkap filem Mamat Khalid tanpa kiasannya, namun perlambangan yang ditampilkan sangat subjektif dan bergantung kepada pemahaman tersendiri.

Satu lagi kelebihan Hantu Kak Limah ialah biarpun ia berpaksikan komedi, namun elemen seramnya masih mampu meremangkan bulu roma.

Konklusinya, Hantu Kak Limah merupakan sebuah filem untuk penonton bergelak ketawa dan pulang dengan hati yang senang.

Ropie Cecupak sebagai Nayan.FOTO/Astro Shaw
Hantu Kak Limah mengekalkan Delimawati dan Datuk Awie sebagai teraju utama, selain Allahyarham Rab Khalid dan turut menampilkan muka-muka baharu antaranya Zul Ariffin, Uqasha Senrose dan Ropie Cecupak.

Ia merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Hantu Kak Limah terbitan Astro Shaw Dan Infinitus Gold, bakal ditayangkan bermula 9 Ogos ini.