Apakah yang telah dipilih oleh Snyder untuk didedahkan dalam trailer kedua Batman V Superman?
1- Kemunculan Doomsday
Hampir di penghujung trailer, Doomsday dilihat muncul dan memuntahkan laser ke arah Batman dan Superman. Doomsday merupakan karakter raksasa yang pertama kali tampil dalam siri komik Superman pada tahun 1992 dan terkenal sebagai karakter jahat yang berjaya membunuh Batman. Dalam trailer BVS, Snyder memberi bayangan bahawa Doomsday ‘dibina’ oleh Lex Luthor dengan menggunakan jasad General Zod yang telah mati selepas bertempur dengan Superman dalam filem Man Of Steel.
2- Wayne Atau Kent?
Trailer baru juga memperlihatkan sebuah majlis yang dihadiri oleh Bruce Wayne dan juga Clark Kent. Wayne disoal oleh Kent tentang pandangannya terhadap Batman yang bertindak ganas terhadap penjenayah di bandar Gotham. Bruce Wayne membalas dengan sindiran terhadap Superman sambil memandang Kent dengan sinis, seolah memberi bayangan bahawa Bruce Wayne sudah tahu bahawa Kent ialah Superman.
3- Kuasa Wonder Woman
Serangan Doomsday ke atas Batman dan Superman dipatahkan oleh Wonder Woman dengan menggunakan perisainya. Adegan ini memberi petunjuk kepada penonton tentang sebab kemunculan Wonder Woman, mungkin untuk melawan Doomsday dengan kuasa luar biasanya sebagai dewi Yunani. Namun hal ini masih belum pasti kerana dalam trailer, Batman dan Superman sendiri keliru dengan kemunculan Wonder Woman
4- Tentera Serangga Bersayap
Batman dilihat ditawan oleh Superman di kem terpencil lengkap dengan tentera sendiri yang mempunyai logo huruf S. Dalam usaha membebaskan diri, tentera bersayap muncul berterbangan dan menyerang kem tersebut. Sesetengah peminat menganggap tentera tersebut milik Batman yang dipanggil untuk menyelamatkannya. Ada juga yang berpendapat mereka merupakan makhluk asing dari planet Zod yang tersebar dan akhirnya memaksa Batman dan Superman membentuk Justice League
5- Humor Lex Luthor
Berbeza dengan watak Lex Luthor yang digalas sebelum ini seperti Gene Hackman, Kevin Spacey, dan Clancy Brown; BVS memilih untuk meninggalkan karakter tegas, tanpa perasaan, dan kejam dengan memperkenalkan Jesse Eisenberg sebagai Luthor yang tampil sinikal dan pelucu. Dia menyampaikan beberapa dialog humor dan pedas dalam trailer terbaru ini.
Filem Batman V Superman dijangka menemui para peminat di Malaysia pada 25 Mac 2016.