Di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, di sebuah banglo kolonial tinggal kini sedang berlangsungnya sebuah penggambaran filem yang paling dinanti-nantikan tahun ini, Interchange.
Ahad lalu, penulis berkesempatan untuk meninjau sekitar pembikinan filem terbaru arahan pengarah prolifik Dain Said yang sebelum ini pernah memenangi gelaran Pengarah Terbaik menerusi filem Bunohan.
Hari itu merupakan hari kritikal buat tenaga produksi kerana babak yang dirakamkan melibatkan babak-babak kemuncak dalam filem tersebut yang dibintangi oleh pelakon ternama dari Malaysia dan Indonesia antaranya Shaheizy Sam, Iedil Putra, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa’, Chew Kin Wah, Alvin Wong dan Junad M.Nor.
Penulis berpeluang untuk mendekati sendiri pelakon terkenal Indonesia yang cukup sinonim dengan watak Rangga dalam filem Ada Apa Dengan Cinta iaitu Nicholas Saputra.
Menjadi seorang pengembara tegar membolehkan pelakon Nicholas Saputra mengenali Belian, watak yang dibawakannya dalam filem terbaru Interchange yang dijangka ditayangkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Menurut Nico yang sedang mempersiapkan diri untuk babak seterusnya, mengembara ke Kalimantan di Kepulauan Borneo mendekatkannya dengan watak Belian, watak misteri dalam filem tersebut.
“Mengembara bagi saya adalah satu pelaburan. Daripada mengembara saya mendapat inspirasi yang sangat besar nilainya. Sebagai pelakon lebih-lebih lagi, dari situ kita akan dapat melihat budaya, masyarakat, sejarah dan dunia secara keseluruhannya,” ceritanya dengan penuh bersemangat tambah pula dikaitkan dengan hobi yang menjadi minatnya.
Menurutnya, pelakon harus sentiasa bersedia untuk menerima apa-apa sahaja watak yang menuntut lebih daripada sekadar pembacaan skrip.
“Kita kena lihat sendiri, baru kita lebih faham. Untuk watak Belian, dia asalnya dari Kalimantan di Kepulauan Borneo. Saya telah terbang ke sana untuk melihat bagaimana sosio budaya masyarakat di sana," kata Nico yang turut berkongsi pengalamannya itu dalam akaun Instagram miliknya.
"Tentu sekali dengan mengembara, buat saya memahami dengan lebih mendalam watak tersebut kerana dapat melihat dari sudut pandangan saya sendiri mengenai kehidupan pelbagai suku kaum yang menetap di sana. Ia semacam satu pengalaman yang segar dan menyegarkan daripada pengembaraan tersebut," kata Nico yang sebelum ini pernah membintangi filem Gie, Janji Joni, Postcards from the Zoo dan yang terbaru Pendekar Tongkat Emas.
Apabila dirisik untuk mengulas lanjut mengenai wataknya Belian, jawapan Nico sangat ringkas dan sangat berhati-hati.
“Belian berasal dari Borneo. Keunikannya adalah dia hidup berbeza secara fizikal berbanding manusia lain,” jawabnya ringkas kerana enggan mendedahkan terlalu banyak mengenai watak misteri itu.
Penulis yang berada di lokasi penggambaran filem tersebut memahami situasi Nico kerana watak tersebut sememangnya penuh misteri yang terkait dengan semangat budaya suku kaum di Borneo.
Sebelum ditawarkan watak tersebut, Nico bagaimanapun mengakui tidak pernah mengenali pengarah Dain Said sebelum ini.
“Kali pertama bertemu Dain Said pada tahun lalu di Jakarta sewaktu dia menawarkan watak tersebut kepada saya.
“Saya hanya tahu filem arahannya Bunohan diterima baik di festival filem antarabangsa dan turut menerima pengiktirafan di sini. Itu sahaja yang saya tahu mengenainya dan tidak pernah berpeluang untuk mengenalinya secara peribadi,” ujarnya yang menyenangi saat bekerja dengan pengarah tersebut.
Bukan nama asing di mata pengarah ternama Indonesia seperti Riri Riza, Joko Anwar, Rudy Soedjarwo dan Ifa Isfansyah, pasti sekali setelah beberapa minggu bekerja di bawah arahan Dain Said ada bezanya.
“Dain seorang yang menyenangi aktornya. Dia sangat selesa apabila bekerja dengan seseorang aktor. Dia kenal aktornya dan tahu akan kebolehan setiap aktornya. Dia mendalami setiap aspek yang ada pada aktornya. Dari situ Dain mendapat kerja seni seperti yang diingininya. Dain juga sangat teliti dalam setiap kerjanya sebagai pengarah,” kata Nico yang turut kagum dengan idea cerita filem tersebut.
Bukan pertama kali menjejak kaki di Malaysia, Nico sebelum ini pernah terlibat dalam pembikinan muzik video, iklan dan mengacara beberapa program di Malaysia.
“Tawaran terlibat dalam filem ini merupakan peluang terbaik untuk saya bekerja dengan sebuah produksi filem Malaysia dan lagi pula saya tertarik dengan jalan ceritanya,” tambah pelakon yang sebelum ini dinobatkan sebagai Pemeran Utama Pria Terbaik Festival Film Indonesia 2005 menerusi filem Gie arahan Riri Riza.
Terkenal agak memilih dalam setiap karya yang menuntut penampilannya, Nico merasakan filem Interchange ada keunikan dari sudut jalan ceritanya.
“Saya sukakan ceritanya. Perkara pokok yang menjadi keutamaan saya dalam setiap karya adalah ceritanya. Apabila ceritanya menguja perasaan saya dan pintu peluang terbuka untuk saya terlibat dengan produksi filem di sini, mengapa tidak.
“Sebagai seorang pelakon, sekali-sekala kita perlu keluar daripada zon selesa untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan merasai pengalaman baru itu sendiri. Tentu sekali kita akan berdepan dengan satu cabaran yang baru apabila bekerja dengan wajah-wajah asing, sistem pembikinan yang berbeza, namun cabaran itulah yang menyeronokkan.
Berpegang prinsip “filmmaking is filmmaking”, aktor berdarah Jawa-Jerman itu tidak sekali-kali gentar dengan perbezaan cara kerja produksi filem daripada dua negara tetangga ini.
“Sememangnya ada perbezaannya, namun filmmaking is filmmaking. Bukan sahaja di sini malah di seluruh dunia sekalipun. Di Indonesia sendiri di antara produksi juga ada identiti kerjanya yang berbeza, ada keunikan masing-masing. Saya tiada masalah kerana yang paling utama adalah a good filmmaking is still a filmmaking.
Dua negara ini memang bukan asing budayanya. Malah boleh dikatakan dua negara ini dari benih yang sama. Galur budayanya sama yang kukuh ikatan serumpunnya. Nama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Krisdayanti, Amy Search dan Datuk Sheila Majid terus menjadi pengikat budaya muzik dua negara ini.
Namun Nico tetap merendah diri kerana enggan dianggap sebagai adiwira yang akan menjadi pengikat muafakat budaya dalam seni perfileman dua negara.
“Sudah tiba masanya kerjasama dalam pembikinan filem diteruskan. Kita menghadapi era kejatuhan filem Indonesia pada sekitar tahun 90an dan bangkit semula pada sekitar awal tahun 2000. Setelah 15 tahun, usahasama ini perlu diteruskan agar acuan utuh industri perfileman dapat dibentuk dan identitinya akan secara semulajadi semakin kukuh. Ini masanya.
Mengakhiri perbualan, Nico diasak satu lagi teka-teki yang sering bermain di minda penggemar filem Ada Apa Dengan Cinta. Setelah 12 tahun, peminat masih kerap bertanyakan soalan mengenai sekuel filem tersebut.
“Ya, mungkin,” katanya sambil tersenyum.
Awal hari ini, Nico sempat memuat naik satu tuit yang seakan-akan menjawab teka-teki tersebut.
Ditulis oleh Dain Said, June Tan, Nandita Solomon dan Redza Minhat, Interchange mengisahkan Adam (lakonan Iedil Putra), seorang jurufoto forensik yang kerjayanya setiap hari adalah melihat tubuh-tubuh yang dikerat menerusi lensa kameranya.
Dia kemudiannya terjebak dalam dunia mistik, ketika membantu rakannya yang juga seorang detektif, menyiasat beberapa siri pembunuhan kejam.
Muzaffar Mustapa
Mon Mar 30 2015
Pelakon Prisia Nasution (Iva) dan Nicholas Saputra (Belian) sewaktu penggambaran filem Interchange - Foto Danny Lim (c) Apparat 2015
MTL: Kerajaan Kelantan minta orang ramai elak lakukan aktiviti luar
Kerajaan Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti-aktiviti luar susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Lelaki Orang Asli ditemukan lemas di Sungai Tumboh
Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan berpakaian lengkap dan dipercayai tersangkut pada pokok liar.
AWANI Ringkas: Salah laku | RUU Pekerja Gig
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
10 Berita Pilihan - (22 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
AWANI Ringkas: 1MDB | Mahkamah | Bahan api
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Pelajar ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air di Kota Bharu
Muhamad Faris Mohd Nor berusia 14 tahun ditemukan di dasar tali air berkenaan pada kedalaman kira-kira lapan meter.
Tumpuan Sabtu – 23 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
It's About YOUth: Project EXIT uncovers mental health struggles
Astro Shaw’s Project EXIT shines a stark light on suicide and mental health. Director Zulaikha Zakaria and producer Syakir “Mo” Zakii discuss how the series delves into the realities of mental health, friendship, and the search for hope. #ItsAboutYOUth
AWANI Tonight: PM’s travels funded by govt, not private companies - Minister
Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s overseas trips to five countries were funded by the government, while corporate executives covered their own costs.
AWANI Tonight: What are the implications of ICC’s arrest warrant for Israel & Hamas?
Aisya Abdul Rahman from University Malaya discusses the significance of the International Criminal Court’s recent arrest warrant for Israel’s Prime Minister and former Defence Minister, as well as the military commander of Hamas.
Interchange: Mengembara buat Nicholas Saputra kenali Belian
Wawancara eksklusif bersama Nicholas Saputra, pemeran watak Belian dalam filem terbaru Dain Said, Interchange di lokasi penggambaran filem itu di Kuala Lumpur.
AADC: Warga media sosial 'troll' Rangga, Cinta di Twitter
Drama mini 'Ada Apa Dengan Cinta?' terus trending. Beberapa peminat menghasilkan jalan cerita parodi yang kini mewarnai garis masa Twitter.