JURI tetap Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Ramli MS menjelaskan kehadiran Zamani di atas pentas pada minggu kelima adalah atas kerelaannya sendiri.

Ramli MS berkata meskipun Zamani tidak sihat namun penyanyi itu tetap ingin meneruskan persembahannya.

“Bila Zamani tidak sihat dan dia datang ketika sound check terakhir, masa itu saya terus minta dia pulang dan berjumpa dengan doktor untuk ambil ubat.

“Tapi bila dia datang kembali suaranya semakin teruk dan saya cuba ‘modulate’ untuk turunkan key nyanyiannya tapi suara dia masih koyak.

“Jadi kami tak paksa pun sebab dia sendiri yang minta jangan ‘modulate’.

“Malah dia tidak pernah kata tidak mahu meneruskan persembahan malam itu.

“Cuma bila muzik sudah mula tadi, dia tidak dapat keluarkan suara kerana mengalami sakit tekak yang agak teruk,” katanya selepas konsert GV5 malam tadi.




Malam tadi menyaksikan Zamani tidak dapat membawakan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dan menyebabkannya hampir tersingkir kerana tidak menerima apa-apa markah dari juri.

BACA: Gegar Vaganza 5: Biar hilang suara, namun Zamani tetap 'legend'

BACA: Gegar Vaganza 5: Zamani diselamatkan melalui imuniti penaja

BACA: Gegar Vaganza 5: Zamani buat penonton menangis


Sementara itu Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata penyingkiran harus dilakukan seperti biasa untuk berlaku adil kepada bintang GV5 lain.



Bagaimanapun Emarina tidak menolak imuniti yang digunakan oleh penaja utamanya, Datuk Seri Aliff Syukri.

“Ini pertandingan, penyingkiran tetap diteruskan walau apa pun yang berlaku kerana kami mahu berlaku adil kepada bintang GV5 yang lain.

“Bagaimanapun kami tidak menolak apabila penaja sendiri menggunakan imuniti untuk mengembalikan bintang yang tersingkir,” katanya.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.