Lagu Zombie, ciptaan Dolores O’Riordan dari kumpulan the Cranberries bukan hanya‘catchy’, lagu rock keras dan bising serta penuh kemarahan.

Lagu yang popular pada pertengahan 90-an itu diinspirasi daripada tragedi pengemboman Tentera Republikan Ireland (IRA) di London pada 1993 yang dikenali sebagai Bishopsgate Bombing.

Tentera pemisah IRA meletupkan sebuah lori yang sarat dengan bahan letupan sejam selepas membuat panggilan amaran mengenai serangan itu.

Dalam serangan itu, seorang jurugambar berita terkorban dan 44 yang lain cedera.

O’Riordan amat terkesan dengan tragedi tersebut membuat keputusan untuk menulis lagu yang membawa mesej anti-peperangan yang berjudul Zombie.

Bermula dengan versi akustik, Zombie lebih masuk akal jika dimainkan dengan muzik yang lebih keras kerana ia menceritakan keganasan yang kerap berlaku di Ireland Utara dan didalangi IRA.



IRA merupakan tentera yang memperjuangkan penyatuan seluruh Ireland untuk keluar daripada United Kingdom sebelum satu gencatan senjata dicapai pada 1997 dan perjanjian damai ditandatangani di Belfast pada 1998, yang dikenali sebagai the Good Friday Agreement atau Belfast Agreement.

Selepas Zombie dikeluarkan pada 1994, Zombie berjaya menduduki carta no.1 di kebanyakan negara termasuk United Kingdom dan carta rock Amerika Syarikat selain platinum di Australia dan Jerman.

The Cranberries kemudian menyepi dari tahun 2004-2008 sebelum bergabung semula pada 2009 dengan merakam beberapa album.

Tahun lepas, Cranberries melancarkan album baharu yang dijudul Something Else termasuk versi akustik Zombie bersama Dewan Orkestra Ireland.

Siapa sangka rekod tersebut adalah yang terakhir buat O’Riordon yang meninggal dunia semalam pada usia 46 tahun.