Dia diumumkan meninggal dunia seminggu selepas dibawa ke hospital kerana selsema sejak enam hari lalu
“Dengan penuh rasa sedih, saya mengesahkan penghibur dan ikon legenda, Prince Rogers Nelson meninggal dunia di kediamannya di Paisley Park pagi ini,” ujar jurucakapnya, Yvette Noel-Schure tanpa mengulas lanjut.
Pejabat syerif Carver County di Minnesota dalam satu kenyataan mengesahkan telah menerima satu panggilan kecemasan memaklumkan Prince tidak sedarkan diri di dalam lif.
Percubaan untuk menyedarkan semula penyanyi itu gagal dan dia disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi waktu tempatan.
Siasatan ke atas kematiannya turut dilancarkan.
Memetik sumber tidak dinamakan, pihak berkuasa berkata, satu siasatan mengenai kematian artis itu sedang dilakukan di kediamannya di kompleks Paisley Park.
Zaman kegemilangan Prince pada dekad 80-an menyaksikan kejayaannya mengadun irama rock dan R&B sebagai rentak tari funk.
Album Purple Rain terbitan 1984 sering dilabelkan peminat muzik sebagai antara album terhebat sepanjang zaman.
Bintang muzik, netizen beri penghormatan terakhir
Sementara itu, pemergian Prince turut dikenang di seluruh dunia, daripada Barack Obama sehinggalah Oprah.
Tidak ketinggalan para peminatnya bahkan tweet dari Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) yang memuat naik foto nebula ungu sebagai mengingati warna yang sinonim dengan Prince.