KEHEBATAN vokal Misha Omar sememangnya telah diakui ramai. Meski menyanyi dalam apa juga keadaan pun, persembahannya tetap mendapat pujian.

Itu jugalah yang berlaku ketika Misha tampil dalam program MeleTOP Selasa lalu ketika mempromosikan single terbaharunya, Sampai Bila.

Pada penghujung program, Misha selaku tetamu jemputan, diminta untuk menyanyikan lagu tersebut secara live .

Misha memilih untuk menyanyi sambil duduk kerana tidak mahu membelakangkan pengacara program berkenaan iaitu Nabil dan Neelofa.

Bagaimanapun tindakan Misha berbuat demikian telah menjadi tular dan menarik perhatian netizen yang rata-ratanya memuji kehebatan vokalnya yang tetap ‘maintain’ meskipun menyanyi sambil duduk sahaja.

"Saya memang nak menyanyi berdiri, tetapi menyedari Lofa dan Nabil duduk di situ, saya berasakan tidak manis jika membelakangkan mereka.

"Jadi, dalam segan saya duduk juga sambil menyanyi. Tidak menjangka pula perkara ini menjadi bualan peminat di Instagram dan Twitter. Malu saya dibuatnya,

"Pada mulanya, saya tidak tahu perkara ini menjadi besar dalam kalangan peminat. Selepas dimaklumkan, baru saya berpeluang baca satu persatu,” ujar Misha sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar.


Disebabkan persembahan Misha sambil duduk ini menjadi bulan hangat, ramai peminat yang tidak berkesempatan menonton program tersebut, menontonnya di laman Youtube, selain petikan video di laman sosial.

Dalam pada itu, Misha mengharapkan agar para peminatnya terus menyokong lagu Sampai Bila yang kini semakin mendapat perhatian selepas diperdengarkan kepada umum.