Selain itu, agamawan tersebut turut menghadiahkan beberapa buku tulisannya, jubah dan kopiah kepada Iqram.
Dalam pertemuan tersebut, pelakon Johan As'ari yang menemani Iqram turut menerima cenderahati daripada Zulkifli.
Menerusi Instagramnya, Zulkifli memberitahu ada maksud ingin disampaikan menerusi buah tangan yang diberikan kepada Iqram dan Johan.
“Kami hadiahkan beberapa buku tulisan kami kepada Iqram dan Johan untuk dibaca, dihayati dan diamalkan kandungannya.
“Begitu juga jubah dan kopiah supaya terus istiqamah dan bersemangat dalam ibadah.
“Tidak lupa dua arnab yang comel kami hadiahkan kepada Iqram, supaya beliau dapat meneruskan hobinya dengan lebih gembira dan tenang,” tulisnya.
Zulkifli juga berharap agar hadiah yang diberikan kepada Iqram dan Johan dapat mengeratkan lagi hubungan mereka.
“Semoga hadiah yang tidak seberapa itu dapat mengikat hubungan persaudaraan kita untuk terus saling berhubung dan mengeratkan ukhuwwah,” ujarnya.
Dalam pada itu Zulkifli turut mengucapkan terima kasih kepada Iqram dan Johan kerana sudi berkunjung dan terbuka untuk berbincang.
“Terima kasih kepada mereka berdua dan rakan-rakan yang mengunjungi kami serta berbincang dengan kami dengan penuh kemesraan dalam liqa’ tersebut.
“Kami berdoa agar kita semua sentiasa ditaufiq dan dihidayahkan oleh Allah SWT,” katanya menerusi entri yang dimuat naik pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, Zulkifli menjemput Iqram hadir ke pejabatnya menerusi sepucuk surat terbuka bertarikh 27 Disember untuk membincangkan masalah dihadapi aktor tersebut selepas video aksi pelik pelakon itu menjadi perbualan netizen dan tular di laman sosial.
Foto: Instagram Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri