Berita kelahiran puteri sulung penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin nyata membuatkan rakyat Malaysia teruja dengan berita ini.

Astro AWANI yang merupakan antara media tempatan terawal yang tiba di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota dan sempat menemubual anak kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Asyraf Khalid.

Dengan penuh rasa gembira dan teruja Asyraf tanpa berselindung meluahkan rasa gembiranya atas kelahiran adik perempuannya ini.

Ketika ditanya mengenai nama bayi perempuan itu, Asyraf berkata, "nama baby ini bermula dengan Siti, tapi biarlah ayah dan Mak Iti umumkan sendiri nanti."

Mak Iti merupakan panggilan Asyraf kepada Siti Nurhaliza sejak bapanya mengahwini penghibur terkenal tersebut sejak 11 tahun lalu.

BACA: Siti Nurhaliza sambut bayi sulung tanggal 1 Rejab


"Sebenarnya, nama bayi akan diumumkan dalam masa tujuh hari lagi. Bagaimanapun, kami akan memanggilnya dengan panggilan Siti Khadijah buat masa ini," kata Asyraf Khalid, eksklusif kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Penantian selama 11 tahun merupakan satu penantian yang berharga dan nyata berbaloi.


Selain itu, Asyraf mewakili seluruh ahli keluarganya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus mendoakan kebahagiaan dan keselamatan Siti Nurhaliza.

Penghibur nombor satu negara itu selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kira-kira jam 8.17 pagi.

Perkara berkenaan disahkan pengurusnya, Rozi Abdul Razak menerusi satu kenyataan rasmi di akaun Instagram Siti Nurhaliza @ctdk.

Menurut Rozi, bayi perempuan seberat 3.55 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.

Sejak minggu lalu, Astro AWANI sudah mula menggunakan hashtag #BabyCTDK untuk meraikan ketibaan puteri sulung Siti Nurhaliza dan Khalid.