Kali terakhir Nasir duduk di kerusi pengarah adalah 27 tahun lalu, ketika menghasilkan dua buah filem sekitar tahun 80an iaitu Kembara Seniman Jalanan dan Rosana Cinta 87.
Namun menurut Nasir, dia tidak menghilangkan diri tetapi aktiviti seninya banyak tertumpu di belakang tabir.
“Saya mungkin sudah lama tidak mengarah, tetapi saya tak hilang. Saya masih lagi aktif menulis dan membuat kerja-kerja di sebalik tabir tetapi cuma tak menggunakan nama ‘Nasir Jani’” jelas Nasir yang mempunyai kolum tetap di akhbar Sinar Harian.
Bakal mengarahkan filem ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’, kata Nasir, kerana minatnya terhadap hasil karya Ramlee membuatkan dirinya tertarik untuk menerima tawaran ini.
“Novel-novel Ramlee telah diperkenalkan oleh anak saya beberapa tahun dahulu dan sehingga kini saya sudah ‘khatam’ kesemua 24 novel hasil tulisan Ramlee.
Apabila Ramlee datang sendiri berjumpa dengan saya dan menawarkan peluang ini, saya terima dengan hati yang terbuka kerana saya sendiri adalah peminat novel-novelnya.
Sebagai pengarah saya akui, tanggungjawab yang digalas amat berat terutama dalam memvisualkan sebuah novel popular” katanya yang ditemui di sidang media filem Tombiruo: Penunggu Rimba.
'Tombiruo: Penunggu Rimba' hasil nukilan Ramlee Awang Murshid telah diterbitkan pada tahun 1998 sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke 14.
Filem aksi ini merupakan kerjasama antara syarikat Layar Sunan, Karangkraf Media Group dan Ideate Media serta merupakan filemm adaptasi ketiga bagi Karangkraf selepas Ombak Rindu dan Manisnya Cinta di Cappadocia.
Filem Tombiruo: Penunggu Rimba menceritakan mengenai mitos yang wujud di dalam lagenda hutan tebal masyarakat di Sabah yang sebenarnya adalah seorang manusia yang berwajah tidak sempurna yang bertindak sebagai penjaga rimba.
Novel yang diterbitkan pada tahun 1998 ini sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke 14.
Dalam majlis yang sama, penulisnya Ramlee yang cukup terkenal dengan genre thriller dan pengembaraan aksi berkata, hatinya terbuka untuk membenarkan karyanya kali ini diangkat ke layar perak kerana adanya kerjasama bersama Karangkraf.
“Sebelum ini memang ada lamaran mahu novel saya difilemkan, tetapi saya tolak kerana saya cerewet dalam membenarkan karya saya diolah.
"Apabila ada tawaran begini, dalam masa yang sama Karangkraf turut bertindak sebagai penerbit filem. Saya terima kerana bekerja dengan Karangkraf lebih bebas dan lebih bertolak ansur,” katanya yang sudah menghasilkan 24 novel di bawah terbitan Karangkraf.
Filem yang akan menjalani pengambaran di Sabah ini akan memulakan produksi pada pertengahan tahun hadapan.
Pihak produksi dijangka akan mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini tidak lama lagi.