KEMENANGAN pengacara dan pelakon popular, Noor Neelofa Mohd Noor, menerusi kategori Top Top Meletop (Wanita) di Anugerah MeleTop Era 2018 (AME2018) menjadi pertikaian sesetengah netizen.
Bagaimanapun, bagi tuan empunya badan, dia tidak kisah dengan setiap kecaman atau kritikan yang diperkatakan kepadanya.
Jelas wanita berusia 29 tahun ini, kemenangannya pada malam itu adalah rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT kepadanya.
“Rezeki ALLAH orang tak boleh nak pertikaikan. Sejauh mana sekalipun atau berapa banyak duit atau askar-askar yang dikumpulkan untuk mengundi, akhirnya ALLAH yang tentukan.
"Tapi saya tak perlukan semua itu, sebab saya mempunyai orang belakang yang kuat, yang sentiasa menyokong saya, walaupun ketika saya dikecam atau dikritik dengan teruk,” ujarnya tenang.
Ditanya siapa pencabar terdekatnya dalam anugerah berkenaan, Neelofa mengakui pelakon, Nur Fazura sebagai antara yang tersenarai.
“Pesaing saya sudah tentu nama-nama besar seperti Fazura dan Farah Nabilah. Saya rasa Farah Nabilah sebagai artis baharu yang ada beberapa naskhah atau drama yang baharu dilakonkan mendapat sambutan yang sangat hebat.
"Macam Fazura sendiri merupakan nama yang cukup hebat. Lagi pula dia sebelum ini telah memenangi pelakon filem terbaik. Saya rasa tak mustahil dia menang anugerah utama,” katanya selepas sahaja selesai AME2018.
Selain anugerah utama, Neelofa turut memenangi anugerah Fesyen MeleTOP dan Pelakon Televisyen MeleTOP.
Manakala, Fazura diumumkan sebagai pemenang anugerah Bintang Filem MeleTOP dan Farah Nabilah pula pertama kalinya dianugerahkan Artis Baharu MeleTOP.