KUMPULAN penyanyi lelaki dari United Kingdom yang digilai ramai satu ketika dahulu, One Direction, dikhabarkan bakal bergabung semula.

Berita baik ini disampaikan bekas anggota kumpulan dan penulis lirik, Liam Payne yang memberi bayangan itu dalam satu rakaman temu bual dengan 1D Metro Manila di Twitter.

“Kami pernah bercakap tentang perkara ini dan jika impian untuk mengadakan persembahan hebat itu tercapai, ia akan menjadi persembahan paling menakjubkan,” katanya dalam rakaman temu bual itu.

Khabar ini nyata menggembirakan peminat tegar mereka yang dikenali sebagai "Directioners" di seluruh dunia, menjadikan #OneDirectionReunion tular di platform Twitter.

Menurut Liam lagi, mereka kini sedang memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing sebagai satu persediaan untuk menjadi sebuah kumpulan lebih berjaya.


Kumpulan One Direction pernah berada di bawah naungan label muzik Syco Records milik pengkritik popular Simon Cowell.

Ia dianggotai oleh Liam payne, Niall Horan, Harry Styles, Zayn Malik, dan Louis Tomlinson.

One Direction yang ditubuhkan pada tahun 2010 menerusi program realiti The X Factor berpecah sejurus selepas Zayn Malik meninggalkan kumpulan itu pada tahun 2015.

Kali terakhir kumpulan yang popular menerusi lagu "Night Changes" itu mengadakan konsert bersama di Manila pada 2015.

Rata-rata Directioners memberi komen positif dan berasa gembira dengan berita tersebut.

Malah rata-rata mereka berkata tidak sabar menunggu persembahan kumpulan itu diadakan.