RADAR industri hiburan dunia bakal kembali panas apabila kumpulan K-Pop tersohor, BTS sudah mengesahkan album terbaharu mereka akan dipasarkan pada 12 April ini.

Syarikat pengurusan kumpulan itu, Big Hit Entertainment pada Selasa mengumumkan album Map of the Soul: Persona akan mula dijual secara tempahan bermula Rabu.

Map of the Soul: Persona dipasarkan lapan bulan selepas album Love Yourself dijual pada musim panas lalu.

BTS sebelum ini sering memberi bayangan mengenai penerbitan album berkenaan termasuk tajuknya yang dikaitkan dengan laluan pencarian jiwa.

Bahkan, salah seorang ahli kumpulan BTS, Jin pula pernah dikesan mengenakan baju yang tertera tulisan 'Persona'.

Sebaik album Map of the Soul: Persona dipasarkan, BTS juga dilaporkan akan melancarkan konsert besar-besaran mereka di lapan kota terkemuka dunia pada Mei depan, susulan kejayaan konsert jelajah dunia pada 2018.

Siri konsert jelajah tahun ini akan membuka gelanggang di negara Amerika Syarikat meliputi empat kota iaitu di Los Angeles pada 4 hingga 5 Mei diikuti Chicago (11 - 2 Mei), East Rutherford, New Jersey (18-19 Mei) dan Sao Paulo (25 Mei).

Konsert BTS akan diteruskan di kota London pada 1 dan 2 Jun, Paris (7-8 Jun) sebelum ke Jepun untuk menghiburkan peminat mereka di Osaka pada 6 dan 7 Julai serta berakhir di Shizuoka (13 - 14 Julai).

Pengumuman berita terbaharu ini amat menggembirakan peminat tegar BTS khususnya pengikut kumpulan itu yang dikenali sebagai ARMY.

Sejak Ogos lalu, peminat-peminat BTS di seluruh dunia mula membincangkan mengenai album baharu kumpulan ini.

Rasa keterujaan itu dikongsikan di laman sosial ARMY seluruh dunia dengan memuat naik entri #BTSISCOMING.

BTS atau Bangtan Boys dianggotai oleh tujuh orang ahli iaitu Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook membawa harapan baharu bagi artis dari Asia untuk menawan industri muzik Hollywwod.

Mereka semakin diterima dengan meluas di Amerika Syarikat sehingga diundang ke majlis Anugerah Grammy sebagai penyampai anugerah pada Februari.

Album BTS berjudul Love Yourself: Tear juga disenaraikan sebagai calon dalam kategori Kulit Album Terbaik di Grammy 2019.


Untuk rekod, sejak mempunyai akaun rasmi Twitter bermula Mei 2013, BTS mengumpul seramai 14.3 juta pengikut manakala di laman Instagram pula, kumpulan ini mempunyai 15.9 juta pengikut setia.

BACA: BTS umum bakal muncul album terbaharu bulan depan

BACA: BTS ARMY, sedia untuk ikat perut! Patung comel anggota BTS dilancar April ini