Siapa sangka kejayaan filem aksi terbaru arahan Ghaz Abu Bakar, Polis Evo yang mampu meraih kutipan lebih RM2.4 juta dalam tempoh 4 hari ia ditayangkan di 98 pawagam seluruh negara sebenarnya bertitik tolak daripada idea hebat yang dicetuskan empat orang penulis skrip yang cukup berbakat iaitu Joel So, Kyle Goonting, Anwari Ashraf Hashim dan Adib Zaini
Gabungan keempat-empat penulis skrip Gen-Y ini di dalam Polis Evo secara tidak langsung telah berjaya mencetuskan satu fenomena baru dalam industri perfileman negara.
Ketika diwawancara, Joel Soh yang juga bertindak sebagai memberitahu bahawa kekuatan skrip adalah kunci utama yang menggerakkan filem tersebut untuk diterima dengan mudah oleh peminat filem tempatan.
“Polis Evo sebenarnya bukanlah sebuah filem yang dihasilkan untuk mencabar minda mereka yang menonton di pawagam. Sebaliknya, objektifnya adalah sekadar untuk menampilkan sebuah jalan cerita yang mudah serta tidak terlalu rumit untuk difahami sebagai satu kepuasan kepada penonton.
“Dalam hal ini, saya turut meletakkan kepercayaan yang cukup tinggi terhadap kemampuan tiga penulis skrip lain iaitu Kyle Goonting, Anwari Ashraf Hashim serta Adib Zaini untuk menyuntik idea segar mereka sendiri.
"Dan, kami juga tidak mahu terburu-buru melakukannya kerana apa yang penting adalah kami dapat mencapai standard serta kualiti yang dimahukan. Sebab itulah, skrip filem ini mengambil masa selama setahun untuk disiapkan,” jawab Joel Soh mengulas lanjut mengenai filem Polis Evo.
Anwari Ashraf pula menjelaskan, mereka memilih tema kepolisan kerana mahu tampilkan kelainan berbanding filem-filem aksi polis lain yang pernah ditayangkan sebelum ini.
“Tipu kalau kita tidak pernah tonton Gerak Khas dan kami tahu kekuatan filem tersebut. Tetapi kami juga mahu tonjolkan sesuatu yang lebih segar serta sangat berbeza yang boleh memartabatkan imej polis itu sendiri.
“Salah satu caranya adalah dengan menumpukan perhatian terhadap human side di dalam cerita ini. Biarpun, kelihatan seperti lebih banyak babak aksi yang ditonjolkan di dalam Polis Evo, namun pada waktu yang sama, kami cuba menyelitkan mesej tentang erti pengorbanan, persahabatan serta kekeluargaan.
“Sebab itu kami pilih Polis Evo sebagai judulnya. Evo di dalam konteks ini bermaksud evolusi imej polis untuk dibawa ke layar perak,” jelas Anwari Ashraf.
Dalam pada itu, Kyle Goonting menjelaskan komitmen jitu yang diberikan oleh barisan pelakon, krew produksi serta pengarah terhadap pembikinan Polis Evo turut membantu untuk filem ini dihasilkan dengan penuh kualiti seperti mana yang diinginkan.
“Saya rasa gabungan mereka semua banyak membantu untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa di dalam filem ini. Semua pihak berusaha untuk memberikan yang terbaik dan seandainya mereka tidak berhasil untuk mencapai tahap yang dikehendaki, mereka akan bersikap jujur serta cuba untuk memperbaikinya dengan sebaik mungkin.
“Sebab itu jika ada sahaja adegan yang kurang memuaskan, baik pengarah, mahupun produksi krew serta barisan pelakon, mereka akan cuba membuatnya semula sehingga ianya nampak lebih baik,” ujar Kyle lagi.
Filem Polis Evo merupakan filem bergenre aksi dan ia memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah di negeri Terengganu.