TIADA apa yang mampu dilafazkan penyanyi Wany Hasrita selain daripada memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana terpilih sebagai tetamu Allah mengerjakan haji.

Pelawaan daripada Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima dalam masa singkat itu disifatkan penyanyi lagu Menahan Rindu itu sebagai anugerah paling agung buatnya.

"Saya tidak pernah terfikir untuk kerjakan haji pada usia seawal ini. Namun begitu, rasa syukur saya panjatkan pada Allah kerana menawarkan rezeki yang tidak terduga ini," kata Wany kepada Astro AWANI.

Pada usia 27 tahun, Wany mengakui, pelbagai perkara bermain di fikirannya kerana tidak membuat persediaan awal seperti jemaah-jemaah lain.

Namun, selepas diyakinkan oleh keluarga serta rakan-rakan rapatnya, dia menerima pelawaan itu.

Sebetulnya, Wany hanya menerima undangan untuk menunaikan haji pada Ahad lalu dan berangkat pada pukul 4 petang Rabu.

Wany Hasrita (dua dari kanan) bersama ahli keluarga yang menghantarnya di KLIA pada Rabu. - Gambar Instagram WANY HASRITA




Dalam tempoh singkat itu, Wany melakukan persiapan yang semampu mungkin termasuk menghadiri kursus haji bersama seorang ustaz.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah memberitahu, memandangkan dia dibenarkan untuk membawa seorang teman dan disebabkan ibunya uzur, dia mempelawa rakan artis Amira Othman untuk menemaninya.

“Sesungguhnya, Wany sendiri tak tahu kenapa nama Amira yang ada dalam fikiran ketika itu. Lepas ibu kata tak boleh pergi, Wany terus telefon Amira. Mungkin sebab kami selalu pergi usrah sama-sama. Itu semua kuasa Allah.

“Walaupun kami pergi tanpa mahram, tak ada masalah sebab ini atas undangan pihak kedutaan. Sebenarnya, mula-mula tu takut juga, ingatkan scam. Bila Wany dah sampai ke pejabat kedutaan dan tengok sendiri, kebimbangan tu hilang dan terus yakin,” cerita Wany lagi.

Akan berhimpun di Tanah Suci, Wany sukar untuk menggambarkan kegembiraannya lebih-lebih lagi peluang itu diperoleh pada usianya kini.

“Ibu sentiasa nasihatkan saya jangan bimbang kerana dalam sejuta orang yang nak dapat peluang macam Wany memang susah.

“Alhamdulillah juga segala urusan ke sana dipermudahkan oleh Allah. Doakan urusan Wany di sana nanti juga dipermudahkan," kata Wany yang dijangka kembali ke tanah air pada 16 Ogos ini.