BARU-BARU ini industri hiburan tanah air digemparkan dengan isu kegagalan pihak produksi Ogy Ventures & Network untuk melunaskan baki bayaran barisan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Isu tersebut kemudian menjadi bertambah serius apabila seorang pelakon teater iaitu Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras, pada Jumaat.
Laporan berkenan dibuat apabila Che Mat berasa tertipu dengan janji manis pelakon dan pengarah Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy untuk melunaskan baki bayaran.
Terbaharu, pengarah teater tersebut, Khir Rahman pula tampil menyuarakan pandangan terhadap kemelut berkenaan.
Menerusi posting di akaun Twitter peribadinya, Khir menegaskan, dia masih lagi rasional dan sedang cuba untuk menahan diri daripada membincangkan mengenai isu berkenaan di media sosial.
"Secara peribadi, saya cuba menahan perkara ini dari tersebar ke media sosial dan pihak media. Sebagai manusia dan pengarah, saya tak mampu menahan kesah keluh mereka yang belum menerima pembayaran.
"Saya ada banyak cerita, namun biarlah sampai di sini dahulu. Saya mungkin menghormati bakat Kak Ogy dan ia kekal begitu buat masa ni," katanya.
Menurutnya, dia masih belum lagi buat laporan polis, namun kisah yang sedang berlaku adalah benar.
"Ada beberapa pemain dari teater arahan saya ini telahpun bertindak demikian kerana tidak lagi tahu mahu ke mana.
"Buat masa ini Kak Ogy memang mendiamkan diri dalam WhatsApp.
"Apapun saya masih berharap agar pihak Kak Ogy akan melunaskan segala pembayaran dalam masa terdekat ini.
"Sebab bercerita secara kronologi dari A sampai Z, termasuk sikap buruk manusia bukanlah menjadi amalan saya selama ini," kata Khir lagi.
Apapun, sy masih berharap agar pihak Kak Ogy akan melunaskan segala pembayaran dlm masa terdekat ini.
— KEI RAMOSS (@KhirRahman) May 1, 2020
Sebab bercerita secara kronologi dari A sampai Z ..termasuk sikap² buruk manusia bukanlah menjadi amalan sy selama ini
Untuk rekod, teater arahan Khir Rahman itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.