AWAN mendung berarak bersama hujan mengiringi pemergian Azmil Mustapha Kamil hari ini.
Pelakon itu meninggal dunia di dalam tidurnya, sekitar pukul 12.40 tengah hari pada usia 65 tahun di rumahnya di Shah Alam, selepas beberapa ketika bertarung dengan komplikasi jantung.
Seorang lagi bintang gugur, membawa bersama watak-watak ikonik yang pernah dilakonkannya seperti 'Ali' dan 'Taufik'.
Namun kehilangan industri perfileman negara pada tanggal 14 Februari 2018 bersamaan 28 Jamadilawal 1439 tidak sebesar yang dirasai gandingan emasnya, Fauziah Ahmad Daud.
“Saya kehilangan seorang abang, sahabat yang paling rapat,” kata Ogy yang tidak berdaya menahan air matanya daripada berlinang.
"Dia tahu susah senang saya, saya tahu susah senang dia."
Azmil mula dikenali khalayak menerusi lakonannya dalam filem Mekanik pada tahun 1983, sebelum bersama Ogy mencipta nama dengan filem Ali Setan, Ali Setan 2, dan Suara Kekasih.
Mungkin generasi muda hari ini tidak tahu, tetapi siapalah yang hidup dan muda pada era 80-an berani menafikan keserasian dan ‘chemistry’ antara Allahyarham Azmil dan Ogy dalam Ali Setan dan Suara Kekasih yang cukup meyakinkan seperti benar-benar sepasang merpati dua sejoli.
Mereka sama-sama melakar nama, sama-sama berada di puncak kegemilangan suatu ketika dahulu.
Tetapi sebenarnya ia tidak lebih daripada lumrah kerja yang berpegang kepada profesionalisme, malah ia membentuk ikatan yang lebih akrab sehingga menjadi umpama abang dan adik.
“Dia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas saya, berpeluklah macam mana sekalipun masa berlakon dulu.
“Bila pengarah kata ‘cut!’, kami pula yang bergurau mempersendakan lakonan masing-masing. Begitulah kami.
“Dan dia juga tidak pernah ‘overshadow’ gandingannya. Kalau ‘scene’ itu memerlukannya untuk menyerlah, dia akan bawa sekali ‘partner’nya menyerlah sama.”
Kali terakhir Azmil mencurah bakti sebagai anak seni adalah dengan memainkan peranan Pangeran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang pada 2004 sebelum dia mengorak langkahnya sendiri untuk mencari keredhaan Ilahi.
Bagaimanapun cerita Ogy lagi, penghijrahan Azmil dan pengundurannya dari arena seni tidak langsung mengubah insan bernama Azmil yang dikenalinya.
Dia masih Azmil si Ali Setan dan Taufik yang nakal, suka bercanda tetapi sangat merendah diri malah lebih murah dengan senyuman kepada sesiapapun yang ditemuinya.
“Allahyarham tidak pernah menidakkan zaman lampaunya bahawa dia adalah Ali Setan. Azmil kata, yang setan itu Ali, bukan dia. Dan itu cuma satu watak.
“Malah setiap kali kalau dia telefon, pasti dia akan pekik ‘Helo Asmidar!’, betul-betul macam lakonannya,” kisahnya bersama wajah yang tadinya pilu bertukar senyum apabila terkenang memori indahnya bersama Azmil.
Dia memang lelaki istimewa, tegas Ogy. Malah semasa dia juga mula berhijab dan cuba berhijrah, Azmil orang yang pertama hadir untuk membimbingnya.
Pada ketika Ogy sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukannya pada waktu dia berdepan fasa sukar dalam hidupnya, Azmil sentiasa ada untuk berkongsi suka duka dan pengalaman mengharung cabaran itu.
“Saya sangat keliru masa itu, tetapi dialah yang ketuk pintu rumah saya, bawa saya pergi ke kedainya untuk menjelaskan kepada saya apa sebenarnya yang sedang saya lalui.
"Malah apabila saya kembali ke industri (selepas bertudung), dia sedikit pun tak kecam saya. Cuma dia pesan, jangan lupa Allah, selalu ingat Allah."
Kali terakhir Ogy bertentang mata dengan 'kekasih'nya itu adalah pada sebelum Syawal tahun lepas ketika Azmil menyuarakan hasratnya untuk menerbitkan sebuah rancangan agama tentang artis yang berhijrah dan menjemput Ogy sebagai antara tetamunya.
Ogy juga sempat menelefonnya bulan lepas untuk menjemputnya menjadi tetamu rancangan yang dikendalikannya, Huru Hara, namun ditolak sopan oleh Azmil memandangkan keadaan kesihatannya yang kurang baik, dan itulah kali terakhir Ogy berhubung dengannya.
"Tidak ada orang yang boleh ganti Azmil Mustapha. Datanglah pelakon macam mana pun, takkan ada gantinya Azmil Mustapha," ujar Ogy.
Selesai disembahyangkan oleh jemaah solat Asar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, jenazah terus dibawa tanpa berlengah ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dalam hujan lebat.
Alam seakan bersama pemergian insan ini, apabila serta merta hujan berhenti tatkala jenazah Allahyarham dikeluarkan dari van dan diturunkan ke liang lahad.
Segalanya berlangsung dengan begitu cepat dan lancar, selesai majlis pengebumian sekitar jam 6.20 petang.
Dan langit Rabu pun kembali menangisi pemergian seorang ayah, abang, dan sahabat yang setia.
Al-Fatihah....
Israr Khalid
Wed Feb 14 2018
Ogy memberi penghormatan terakhir kepada insan yang dianggapnya sebagai seorang abang, teman baik, dan rakan seperjuangan yang tiada galang gantinya. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Jualan Proton pada Oktober melonjak 13.6 peratus, catat jumlah YTD 125,557 unit
Proton Holdings Bhd merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada Oktober.
Dulu tempat pelupusan sampah, kini ladang solar - Nga
KPKT telah berjaya mentransformasikan tapak pelupusan sisa pepejal menjadi ladang solar dan tapak rekreasi keluarga.
KL bersiap untuk ekspo bandar pintar pertama Asia Tenggara - Gobind
Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan menganjurkan Ekspo Bandar Pintar (SCE) di Kuala Lumpur mulai 17 hingga 19 Sept tahun ini.
Thailand terima 29 juta pelancong, jangka lebih ramai ketika musim puncak bermula
Thailand telah menerima ketibaan lebih 29.08 juta pelancong asing, menjana pendapatan kira-kira 1.358 trilion baht dari 1 Januari hingga 3 November tahun ini.
Sanggar Puisi 2024 usaha membugarkan budaya membaca
Objektif utama penganjuran Sanggar Puisi Perpaduan 2024 ini adalah untuk menyemarak dan membugarkan budaya membaca menerusi wahana sastera dan budaya.
KPKM bangunkan semula tanah sawah terbiar untuk tanaman padi
KPKM sedang menumpukan usaha membangunkan semula tanah sawah terbiar untuk penanaman padi sekali gus meningkatkan SSR beras negara.
KDN beri penjelasan lanjut di dewan rakyat Khamis ini
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah di Dewan Rakyat Khamis ini.
Mahasiswa diseru tidak terpengaruh dengan ideologi Khawarij
Biar pun Khawarij secara mazhab sudah hampir pupus, namun ideologi dan fahamannya yang ekstrem masih wujud, baik daripada sekecil persaingan demokrasi di pilihan raya, sehingga pertumpahan darah yang berlaku di Timur Tengah.
Kementerian Pertahanan tiada kompromi, siasatan telus
Kementerian Pertahanan bersikap telus dalam siasatan kes buli dan penderaan melibatkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini.
China akan naik taraf zon perdagangan bebas
Berucap pada Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7, Premier China, Li Qiang berkata pembukaan ekonomi adalah "kemestian" dalam memerangi peningkatan uni-lateralisme di seluruh dunia.
Selamat tinggal, Taufik...
Betapa besarnya kehilangan seorang pelakon ikonik era 80-an, Azmil Mustapha buat gandingan emasnya, Fauziah Ahmad Daud.
#AliSetan30Tahun: Lagi saya nak lupakan, lagi orang ingatkan, kata Sheila Majid
Segalanya istimewa dan lucu apabila mengimbas semula pengalaman penglibatan Datuk Sheila Majid dalam filem Ali Setan pada 30 tahun dahulu.