Pengumuman tersebut dibuat susulan terdapat dakwaan seumpamanya dari satu akaun media sosial atas nama 'Dato' Boy Iman-DBI' yang dimuat naik pada 30 Mac lalu.
Kenyataan daripada UM tersebut dibuat melalui perkongsian platform media sosial rasmi universiti berkenaan, berhubung penjelasan status pendaftaran nama berkenaan sebagai calon Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Secara Penyelidikan).
Pendedahan tersebut juga menjawab spekulasi netizen yang mempersoalkan kesahihan 'Dato' Boy Iman' itu yang didakwa pernah mendaftarkan diri bagi melanjutkan pengajian tinggi di universiti berkenaan.
Terdahulu, gambar yang menunjukkan penulisan projek akademik yang telah dijilid dan disertakan kad pelajar telah dimuat naik melalui akaun Instagram miliknya pada 30 Mac lepas.
Kad matriks 'aneh'
Para netizen terutamanya pelajar UM mempersoalkan kad pelajar atau dikenali sebagai kad matriks yang dilihat tidak seperti yang diguna pakai oleh pelajar di universiti berkenaan.
Perkongsian berkenaan akhirnya dipadam selepas kenyataan rasmi UM dikeluarkan, namun masih boleh dilihat kerana perkongsian berkenaan masih terpaut melalui akaun Facebook terbabit.
Dia juga kongsikan pengalamannya yang pernah belajar di beberapa institut pengajian tinggi awam dan pusat latihan tempatan dalam akaun Instagram miliknya.
Namun begitu, netizen tetap persoalkan kesahihannya melalui komen yang diberikan dalam perkongsian tersebut, berikutan terpalit dengan kes projek pembinaan rumah yang didedahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), September lepas.
PPIM tampil sebagai orang tengah untuk membantu pengadu berikutan dakwaan penipuan skim jualan rumah yang antara lain mengaitkan nama 'Boy Iman'.
Dia kemudiannya ditahan di balai Polis Bukit Indah, Ampang selepas beberapa penafian berkenaan kes penipuan projek perumahan yang medibuat olehnya yang juga sebagai Pengarah Urusan DBI Properties pada 3 Oktober lepas.