BERTEMU jodoh pada usia menghampiri 50 tahun merupakan rezeki yang amat disyukuri oleh penyanyi utama Slam, Zamani Ibrahim.

Apa lagi diberi kesempatan bersanding di pelamin, dianggap artis berkenaan seperti mimpi.

Itu yang digambarkan Zamani merumuskan perasaannya duduk bersanding di pelamin dengan isterinya, Nur Juliana Abdul Rani di Mercure Selangor, Selayang pada hari pertama tahun 2020.

Zamani yang sangat masyhur dengan lagu Gerimis Mengundang itu berkata, dia sangat terharu dan seperti tidak percaya majlis bersejarah dalam hidupnya itu benar-benar menjadi realiti.

"Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada perunding perkahwinan Wedding Studio yang menaja sepenuhnya majlis ini.

"Sewaktu berada diatas pelamin ketika bersanding, saya rasa seolah-olah seperti bermimpi.

"Perancangan ini dibuat sebelum saya menunaikan umrah pada hujung Oktober lalu. Tarikhnya memang dah ditetapkan dari awal iaitu 1 Januari 2020," katanya seperti dilaporkan portal Harian Metro pada Rabu.

Zamani, 49, dan Nur Juliana diijabkabul pada 20 September lalu.

BACA: Zamani Slam sah bergelar suami, bawa isteri tunai umrah



Dan tarikh 1 Januari 2020 dipilih pasangan berkenaan sebagai mencipta kelainan.

"Kiranya apabila meraikan tahun baharu setiap tahun, ia sekali gus meraikan ulang tahun majlis resepsi kami.

"Selain itu, hanya tarikh ini saya ada kelapangan kerana selebihnya diisi dengan jadual persembahan yang padat," ujar Zamani lagi.