Seramai sepuluh individu daripada dua keluarga kakitangan Wisma Putra dan agensi tertentu atau ‘non essential staff’ tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Guangzhou, China pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mereka bagaimanapun dibenarkan pulang namun perlu menjalani pemantauan di rumah.

Dalam pada itu Wisma Putra sedang menyelaras urusan membawa pulang 212 kakitangan dari kedutaan atau konsulat jeneral dengan seberapa segera.

"Setibanya mereka di KLIA, mereka akan dibawa ke tempat pemeriksaan kesihatan untuk menjalani saringan kesihatan termasuk pengambilan sampel klinikal.

"Mereka yang mempunyai gejala akan terus di bawa ke hospital manakala yang tiada gejala akan dibenarkan pulang dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah untuk tempoh selama 14 hari," kata kenyataan tersebut.

Mereka juga dikehendaki segera melaporkan diri ke klinik atau hospital berdekatan jika mempunyai gejala seperti batuk, selsema, demam, sesak nafas atau masalah kesihatan yang lain.

Pada masa sama kerajaan sedia membantu 34 warganegara Malaysia di Wuhan yang masih tidak dapat kembali Bersama 107 individu ke Malaysia pada 4 februari yang lalu.

Bagaimanapun ketika ini mereka tidak boleh keluar dari wilayah tersebut berikutsan sekatan keluar masuk yang dikenakan oleh kerajaan China.