Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 16 kes baharu COVID-19 direkodkan pada Rabu, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,831 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu lapan merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala lapan lagi merupakan penularan tempatan.

“Lapan kes import tersebut melibatkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Bagi kes penularan dalam negara, tujuh kes merupakan dalam kalangan warganegara dan satu kes bukan warganegara iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara.

“Dia tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Setakat ini, hanya lima kes positif COVID-19 yang sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala empat kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,566 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 142 kes.