Presiden dan juga Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas setiap tindakan.

“Saya akan terus menjalankan tugas saya dengan profesional, dan memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk membantu pihak berkuasa mencari kebenaran di sebalik 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Arul Kanda berkata sebagai seorang profesional, dia juga perlu menjawab kepada Lembaga 1MDB, pemegang saham dan Kementerian Kewangan (MOF) serta pada masa yang sama kepada Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Semua ini adalah pihak berkuasa undang-undang yang akan menentukan sama ada saya berbohong atau tidak seperti yang didakwa, memandangkan mereka ada semua maklumat,” katanya.

Merujuk kepada catatan di blog mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Arul Kanda menegaskan bahawa peranannya dalam 1MDB selama ini dan seterusnya akan terus bersifat profesional.

BACA: 1MDB akan bukti kemampuannya kurangkan paras hutang

BACA: 1MDB sudah melangsaikan hutang RM3.6 bilion, kata Arul Kanda


“Saya sebelum ini dilantik untuk melaksanakan penilaian strategik syarikat ini, dan sekarang saya mengetuai perancangan pelaksanaan dan rasionalisasi perniagaan, seperti yang dibawakan ke Kabinet pada 29 Mei 2015,” katanya.

Mengakui adanya kekeliruan berkenaan hal dana di Kepulauan Caymen, Arul Kanda berkata dia mengambil tanggungjawab penuh dalam masalah itu.

“Sebagai Presiden, salah faham ini merupakan tanggungjawab saya dan saya akan cuba memastikan adanya komunikasi yang lebih baik dengan pemegang saham.

"Tambahan pula, seperti yang dijelaskan oleh MOF, langkah-langkah yang bersesuaian telah dilaksanakan untuk mengelakkan perkara ini berulang pada masa akan datang," katanya.

Beliau mengulangi komitmen 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasi yang dibentangkan kepada Kabinet.

"Pelan ini akan mengurangkan tahap hutang syarikat dan setakat ini berjalan lancar. Ia dibuktikan dengan pembayaran balik pinjaman berjumlah RM 3.6 bilion yang diumumkan pada hari Isnin, 8 Jun," tambahnya.