Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengakui produktiviti penjawat awam semakin menurun lantaran terpaksa melakukan dua kerja demi menampung kos sara hidup.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, selain isu produktiviti, kesihatan penjawat awam turut terjejas selain kurang meluangkan masa bersama keluarga.

"Kalau dua kerja ni, pertama kesihatan mereka terjejas, yang kedua, tidak ada masa mereka tinggal di rumah dan ketiga, produktiviti mereka pasti menurun.

"Bayangkan kalau kerja 18 jam sehari. Keluar rumah pada pagi, balik rumah pukul 2 pagi, setiap hari macam itu," katanya selepas mesyuarat kongres tersebut di sini hari ini.

BACA: "Hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu" - Cuepacs

BACA: #2kerja: Rakyat Malaysia semakin tertekan demi kelangsungan hidup


Beliau juga mengakui menerima aduan daripada penjawat awam yang terpaksa melakukan dua kerja seperti meniaga burger, mencuci kereta selain bertugas di stesen minyak.

"Semalam pun kita terima aduan di Johor Bahru, bekerja sampai pagi. Dia bekerja mencuci kereta sampai pagi. Tidak mengapa orang Singapura datang cuci kereta (tetapi) yang kita ini hendak bekerja esok pagi," katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat meneliti perkara ini agar ia tidak menjejaskan pembangunan negara dalam usaha mencapai negara maju.