Tiga puluh dua penumpang terdiri daripada rakyat tempatan serta warganegara dan penduduk tetap Singapura, hari ini berlepas ke republik itu dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LSTAS) di sini, penerbangan pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada 18 Mac lepas.

Kesemua penumpang berlepas menggunakan pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot TR481 pada pukul 1.10 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, hanya satu penerbangan berlepas dari LTSAS pada hari ini.

"Setakat ini hanya terdapat satu penerbangan ke negara itu dan kerajaan negeri sudah bersiap sedia termasuk menyediakan pusat kuarantin, jika ada penerbangan yang masuk ke Perak," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penumpang penerbangan tersebut terdiri daripada lapan warga Singapura termasuk seorang kanak-kanak, 19 penduduk tetap negara itu dan lima pelajar Malaysia, yang menuntut di negara jiran berkenaan.

Beliau berkata, kesemua pelajar itu dibenarkan kembali ke Singapura setelah mendapat Kelulusan Dalam Prinsip (IPA), serta kebenaran Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), serta Kementerian Pendidikan Singapura.

"Keadaan terkawal dan semua yang terlibat memberi kerjasama dengan baik," katanya kepada Bernama.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak Khairul Ridzuan Mat Said pula berkata, tiada halangan untuk rakyat mana-mana negara pulang ke negara asal, manakala pelajar rakyat Malaysia diberi pelepasan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa republik itu dan kementerian berkaitan.

Sementara itu Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata, pihaknya menerima 53 tempahan tiket, namun hanya 32 penumpang yang menaiki penerbangan pada hari ini.

Ibu kepada seorang penumpang B. Sarasvathi, 49, berkata, anak tunggalnya Ng Yee Ling, 20, bersyukur kerana dibenarkan kembali ke Singapura, bagi meneruskan pengajian dalam bidang kejurawatan dalam semester akhir, di Politeknik Nanyang.

"Anak saya pulang ke rumah di Sungai Siput pada Februari lepas kerana cuti semester, dan sepatutnya kembali ke pusat pengajian pada Mac, tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan PKP dan penularan wabak COVID-19," katanya, sambil menambah anaknya itu sepatutnya pulang Jumaat lepas tetapi ditunda he hari ini.

Tinjauan Bernama di LTSAS mendapati pihak media tidak dibenarkan masuk, manakala penumpang yang tiba perlu melakukan pendaftaran dan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk utama, sebelum dibenarkan memasuki balai pelepasan dan menaiki pesawat.

-- BERNAMA