Empat maut, manakala empat lagi hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan kira-kira10 batu nautika dari Kuala Kemasin, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, kejadian lebih kurang jam 8.30 malam pada Isnin itu membabitkan sebuah bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan enam awak-awak.

"Dalam kumpulan itu ada empat ke lima buah bot. Jarak dalam 100 meter.

"Bot paling hampir datang menyelamat kerana ketika itu hujan lebat, ombak terlalu besar, pemandangan amat terhad.

"Bila dah reda, barulah dia dapat pergi untuk menyelamat. Sebab itu 12 orang berjaya diselamatkan," kata Abdullah.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian selepas laporan dibuat di Balai Polis Badang jam 10.11 malam sebelum dimajukan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata berdasarkan maklumat, bot berkenaan pada mulanya dipukul ribut menyebabkan sauhnya terputus sebelum dibadai ombak besar dan terbalik.

Difahamkan 12 mangsa diselamatkan bot lain yang berada berhampiran, manakala empat lagi disahkan meninggal dunia.

Baki empat lagi mangsa masihbelum ditemukan dipercayai terperangkap di bawah bot yang terbalik.

Mereka yang terselamat ialah Azhar Mat Nisah, 48; Ikhwan Azhar, 27; Ikram Azhar, 20; Mohd Faris Ismail, 22; Harif Mat Yasin, 50; Mohd Hakim Hashim, 27; Amir Syazwan Adnan, 21; Sayuti Abdul Shukor, 41; Ahmad Roslan Musa, 31; Mohd Naquidin Abdul Aziz, 27; Mohd Izwan Aziz, 22; dan Hassan Bakar, 50-an.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhammad Zaki Muhammad Nordin, 32; Mohd Syafizan Daud, 40-an; Wan Aminuddin Wan Hussin, 60-an, serta seorang warga negara Thailand yang hanya dikenali sebagai Pok Ta, 50-an.

Empat yang masih hilang ialah Harun Daud, 60-an; Che Wadi Bakar, 60-an; Arman Ismail, 43; dan Ahmad Syafiq Che Halim, 30.


Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa yang hilang giat dijalankan polis dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan beberapa agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dua belas mangsa yang terselamat tiba di Jeti Pangkalan Kemasin kira-kira jam 2.15 pagi, manakala dua mayat lagi tiba kira-kira jam 4.20 pagi.

Semua yang terselamat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 untuk pemeriksaan kesihatan, manakala empat mayat juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Bot yang membawa pemancing dari Kampung Padang Tok La, Pasir Mas dikatakan berlepas dari Jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang semalam untuk tujuan memancing dan menyandat sotong dan mengikut perancangan awal akan kembali ke jeti pada jam 6 petang hari yang sama.