Penantian 40 tahun seorang warga emas untuk mendapat taraf kewarganegaraan akhirnya berakhir apabila menerima surat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri di Masjid Jamek Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil, dekat sini, pada Jumaat.

Zaharah Dewa, 83, menerima surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan itu daripada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan bersama Muhyiddin di sini.

Mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Zaharah berkata dia kini boleh bernafas dengan lega kerana akhirnya penantian selama 40 tahun telah berakhir.

"Senang hati, umur saya dah 83 tahun. Sudah 40 tahun tunggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan surat permohonan kewarganegaraan, di sini.

Anak bongsu yang menemaninya, Mariani Daeng Morola berkata emaknya yang lahir di Senggarang, Batu Pahat itu, dibawa ke kepulauan Riau, Indonesia, semasa zaman penjajahan Jepun ketika dia masih kecil.

BACA: Kerajaan PH sasar 10 tahun perbaiki kepincangan dalam negara

Zaharah turut meninggalkan empat adik beradiknya yang lain, di tanah air.

"Bila ayah saya meninggal dunia, kami kembali ke sini (Malaysia). Surat beranak emak pula terbakar, jadi ambil masa untuk buat permohonan," katanya lagi.

Dengan adanya taraf kewarganegaraaan, bolehlah emaknya memohon bantuan daripada pihak berkaitan memandangkan dia kini tinggal seorang diri.

Selain Zaharah, turut menerima surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan adalah seramai lapan individu (seorang lelaki, tujuh wanita).

Muhyiddin turut menyampaikan bantuan berbentuk barang keperluan dan duit raya kepada kira-kira 100 asnaf terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak berkemampuan.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

-- BERNAMA