Pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dibuat secara berperingkat mulai Isnin ini (6 April 2020).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata jumlah keseluruhan BPN sebanyak RM9.24 bilion akan dibayar dalam dua fasa.

"Sukacita saya memaklumkan, bagi fasa pertama BPN pakej Prihatin (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat), 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang sudah diluluskan.

"Pembayaran fasa pertama ini yang berjumlah RM5.63 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai 6 April 2020 (Isnin)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pembayaran fasa pertama ini yang berjumlah RM5.63 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai 6 April 2020 (Isnin)

Beliau, dalam pada itu, menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan Pakej Prihatin ini.

"Penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali," katanya.

Pada 24 Mac lalu, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 billion untuk disalurkan kepada semua sektor awam dan swasta yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Manakala RM2 bilion pula untuk memperkukuh ekonomi negara dan RM20 bilion seperti telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.