Siapa sangka tangan yang dahulunya hanya mahir memegang stereng lori treler dengan muatan 50 tan kini berubah haluan memegang kuali, senduk dan belanga bagi menyediakan ikan patin masak tempoyak.

Samsul Zam Zam Paan, 34, yang memiliki restoran 'Shahida Lee Kitchen' dekat Che Lijah di sini berkata idea untuk menjalankan perniagaan berasaskan makanan timbul kerana ayahnya sendiri adalah tukang masak yang selalu ditagih khidmatnya setiap kali majlis kenduri diadakan di kampungnya dekat Temerloh, Pahang satu ketika dahulu.

"Namun, ia bukanlah perkara mudah kerana 'hidup' saya sebelum itu banyak dihabiskan atas treler sahaja, manalah saya nak kenal kunyit, lengkuas, halia dan pelbagai rempah masakan yang lain.

"Macam-macam cabaran saya lalui dalam proses mendapatkan ilmu memasak agar makanan yang terhasil nanti enak, cukup 'rasa' dan menjadi igauan pelanggan. Alhamdulillah, kini segala penat lelah itu semakin berbaloi apabila masakan di restoran 'abang lori' ini mendapat tempat di hati pelanggan," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Kombinasi rasa pedas cili, lemak santan, masam tempoyak dan ikan patin segar dari Temerloh, Pahang menjadikan restoran 'Shahida Lee Kitchen' semakin popular dan lokasi tumpuan ramai untuk menikmati makanan istimewa yang dijual iaitu ikan patin masak tempoyak.

Pemilik restoran 'Shahida Lee Kitchen', Samsul Zam Zam, menunjukkan hidangan makanan popularnya. --fotoBERNAMA

Selain itu, restoran milik Samsul Zam Zam juga ada menyediakan hidangan patin berlada, pais patin, daging salai masak lemak cili api dan nasi kukus ayam berempah dengan harga sangat berpatutan antara RM6 hingga RM16 untuk setiap set hidangan iaitu nasi, ulam-ulaman, budu serta sambal tempoyak.

Ditanya rahsia keenakan makanan yang dijual, beliau berkata pemilik restoran perlu mengekalkan resipi agar kualitinya sentiasa berada pada tahap terbaik dan tidak 'kedekut' dalam penggunaan bahan masakan.

"Malah, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini juga, kami memberikan diskaun sebanyak 10 peratus untuk semua pelanggan di restoran ini, maklumlah semua pihak terkesan dengan pandemik COVID-19, sekurang-kurangnya diskaun ini adalah antara cara kami menghargai pelanggan agar terus dapat menikmati makanan dengan harga lebih murah," katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata setiap bulan, restorannya akan menggunakan purata 1.5 tan ikan patin segar yang dibeli dari Temerloh dan 120 kilogram daging yang disalai oleh penduduk kampung di Al Muktafi Billah Shah dekat Bukit Besi.

Ikan patin masak tempoyak yang dimasak Samsul. --fotoBERNAMA

"Kalau dulu, saya bawa lori treler hanya dapat pendapatan untuk menampung keperluan keluarga sendiri, kini saya berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak muda tempatan dan peluang perniagaan kepada penduduk kampung untuk menghasilkan daging salai.

"Impian saya hendak buka dua lagi cawangan restoran ini iaitu di Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang agar dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda sekali gus melonjakkan lagi sektor pelancongan domestik yang berasaskan makanan tradisional rakyat Malaysia," katanya yang mempunyai 12 pekerja ketika ini.

Tekad untuk membantu lebih ramai insan menjadi usahawan juga menyebabkan beliau kini bertungkus lumus mencari formulasi baharu untuk menghasilkan pes masakan ikan patin yang lebih mudah disediakan di rumah.

"Saya bercadang mahu bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) serta Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu untuk kualiti dan aspek pelabelan serta pembungkusan untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa satu hari nanti," katanya.

-- BERNAMA