Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengakui berasa bimbang sebelum Majlis Penerangan Perdana anjuran UMNO yang diadakan pada pagi Sabtu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun jelasnya, kegusaran itu hilang selepas majlis itu berlangsung dengan baik walaupun ada khabar angin yang menyatakan, ada kekecohan yang akan berlaku terutama sebelum presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy memulakan penerangannya mengenai syarikat milik kementerian kewangan itu.

"Kenapa saya sentiasa berdiri di pentas bersama ahli panel adalah kerana ada sedikit kekhuatiran. Ada maklumat yang menyatakan bahawa kemungkinan ada yang dikacau di majlis ini.

"Sebab itu saya berada di pentas ini untuk mengawal keadaan, khuatir jika berlaku apa-apa. Walaub agaimanapun, Alhamdulillah syukur dari awal sampai akhir tidak berlaku apa-apa," tambah Ahmad Maslan.


Datuk Ahmad Maslan dalam satu sidang media menyatakan kebimbangannya terhadap kelancaran Majlis Penerangan Perdana 1Malaysia Development Berhad, 1MDB, TPPA dan Bajet 2016.

Jelas Ahmad Maslan, pihaknya sentiasa berwaspada dalam kemungkinan yang akan berlaku dalam majlis itu memandangkan sebelum ini tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi, bagi menuntut isi kandungan perjanjian TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik) didedahkan kepada umum.

"Itulah saya tadi beberapa kali bertanya ada tak wakil ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) misalnya sebab ABIM membawa kerajaan ke mahkamah supaya tidak menandatangani TPPA.

"Wakil ABIM (sebelum ini) menyatakan persetujuan untuk hadir tapi apabila saya bertanya beberapa kali ada tak wakil ABIM untuk bertanya di hadapan, mereka mungkin ada tetapi mereka mendiamkan diri agaknya," tambah Ahmad Maslan dalam satu sidang media pada Sabtu.

Beliau turut menyarankan agar media pro-pembangkang untuk melaporkan penjelasan sebenar berhubung isu dibincangkan pada majlis itu.

Kira-kira 2,500 orang hadir pada Majlis Penerangan Perdana 1Malaysia Development Berhad, 1MDB, TPPA dan Bajet 2016 itu.