Perhimpunan yang dihadiri oleh puluhan ribu rakyat Malaysia itu pada awalnya sebagai satu bentuk bantahan kepada kerajaan apabila isu ICERD mula dibangkitkan.
Bagaimanapun pada 23 November lalu Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media secara jelas telah menyatakan pendiriannya di mana kerajaan tidak akan meratifikasikan ICERD.
Susulan kenyataan media tersebut, perhimpunan yang dijadualkan itu masih diteruskan namun agendanya ditukar menjadi 'perhimpunan kesyukuran kerajaan tolak ICERD'.
Antara reaksi yang diterima apabila penganjur tetap mahu meneruskan perhimpunan adalah reaksi Menteri di JPN (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang:
Persoalannya, mengapa ICERD menimbulkan satu pendebatan yang cukup hebat di negara berbilang kaum ini walhal ICERD secara terangnya menolak segala bentuk diskriminasi kaum?
Bangsa Melayu yang merupakan majoriti penduduk Malaysia mempersoalkan ICERD dengan melihat perkara terrmaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan di mana dengan secara jelas menyebut mengenai 'melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak' atau dalam erti kata lain golongan bumiputera.
Perlu diingatkan di sini, perkara ini telah dipersetujui oleh semua kaum semasa pembentukan Malaysia.
Kata kunci di sini adalah 'kedudukan istimewa'. Kalau berdasarkan kepada dokumen ICERD (konvensyen antarabangsa yang tidak spesifik dan sekadar bersifat universal), tiada tempat bagi sebarang 'kedudukan istimewa' mana-mana kaum.
Jadi, apabila kerajaan dengan secara jelas menyatakan pendirian tidak akan meratifikasikan ICERD, perkara ini nyata disambut baik oleh pelbagai pihak.
Para pemimpin pembangkang seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man antara nama pemimpin yang hadir dalam perhimpunan kesyukuran tersebut.
Kerajaan pula bersetuju perhimpunan diteruskan asalkan tidak menggugat keselamatan awam.
Suara-suara jelas mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu dilaungkan sepanjang perhimpunan berlangsung. Ini antara yang diutarakan oleh beberapa tokoh yang hadir:
Maka, inilah kali pertama sebuah himpunan yang lain daripada yang lain. Himpunan 812 menjadi satu peristiwa yang agak 'janggal' dalam lipatan sejarah negara selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional pada 9 Mei 2018.
Janggalnya apabila himpunan tersebut menjadi satu rapat umum besar-besaran yang dihadiri pemimpin pembangkang, bersetuju dengan keputusan kerajaan.
Walaupun Malaysia seolah-olah terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang turun berhimpun dan golongan yang tidak turut serta, hakikatnya tidakkah kedua-dua kelompok ini mempertahankan perkara yang sama?
Adakah perkembangan ini merugikan rakyat Malaysia terutama sekali bangsa Melayu atau sebaliknya? Terserah kepada rakyat untuk menilai.
Sebagai kesimpulan, sama-sama kita hayati titah ucapan Timbalan Yang Di Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizuddin Shah pada 7 Disember 2018:
*Artikel merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Astro AWANI